Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengenangi lima tahun pemergian Said Zahari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pada 12 April 2021, genaplah lima tahun pemergian Said Zahari, tokoh wartawan besar yang berjuang mempertahankan kewartawanan yang bebas dan progresif. Beliau meninggal dunia dalam usia 88 tahun kerana penyakit tua. Beliau daripada angkatan lama yang melambangkan suatu rangkaian nilai yang luhur -- berani kerana benar, sanggup berkorban demi kemerdekaan, kebebasan, kebenaran dan keadilan. 

Ceria, mesra, sentiasa optimis, tidak lokek dengan senyuman dan gelak ketawa, beliau lambang perpaduan semua kaum. Semasa hayatnya bersama isteri tersayang, Salamah, pada setiap majlis Hari Raya Aidilfitri, kita saksikan ramai rakan dan kenalan semua kaum termasuk mereka dari Singapura berduyun-duyun berkunjung ke rumah beliau di Petaling Jaya. 

Masa itu kesihatan beliau dan isteri masih baik. Mereka tetap meraikan tetamu tanpa kenal penat lelah. Kawan-kawan lama dan baharu akan duduk di majlis itu menikmati juadah serta berbual-bual dan berkongsi memori, mempereratkan silaturrahim, dan memperbaharui persahabatan.

Pendidikan terganggu masa perang

Ramai daripada generasi muda apalagi lagi mereka yang lahir pada abad ke-21 tidak mengenali Said Zahari. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu keturunan Jawa di Kampung Kebun Bunga, Singapura pada 18 Mei 1928. Pada masa itu, Singapura dan Tanah Melayu dianggap sebagai satu. 

Sejak kecil lagi, Said terdedah kepada kemiskinan dan penderitaan hidup dan juga kepada pengalaman menjalin persahabatan akrab dengan mereka yang berlainan bangsa. Disebabkan bapanya meninggal dunia tidak berapa lama setelah beliau dilahirkan, Said membesar sebagai anak yatim. Ibunya yang ketika itu baru berusia 27 tahun terpaksa bekerja keras menjual kuih muih untuk menyara Said lima beradik yang masih kecil.

Said mendapat pendidikan Sekolah Melayu dan Inggeris di Singapura. Cita-cita asalnya ialah melanjutkan pelajaran ke Sultan Idris Training College (SITC) untuk menjadi seorang guru sekolah Melayu, tetapi pendudukan Jepun telah mengubah segala-galanya. Selepas kekalahan Jepun, beliau meneruskan pengajian Senior Cambridge sambil dalam senyap-senyap mengikuti gerakan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah British. 

Pendedahan awal Said kepada politik nasionalis kiri ialah melalui abangnya, Harun Zahari, seorang anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dan rakan-rakan seperjuangan abangnya seperti Kamaludin Muhamad (Keris Mas) yang menjadi tokoh penting dalam Angkatan Pemuda Insaf (Api). Di samping itu, akhbar Utusan Melayu yang dilanggani abangnya menjadi sumber penting bagi pendidikan politiknya, kerana Utusan banyak memuatkan berita dan rencana mengenai perjuangan kemerdekaan di Malaya dan juga kisah-kisah revolusi Indonesia.

Ceburi dunia kewartawanan, pimpin Mogok Utusan

Said memasuki dunia kewartawanan pada 1951 sebagai wartawan Utusan dengan gaji permulaan $120 sebulan setelah diperkenalkan oleh Keris Mas kepada Yusof Ishak, pengasas dan bos Utusan ketika itu. Di sanalah beliau berkenalan dan menjalin persahabatan seumur hidup dengan beberapa tokoh penting tanah air seperti Aziz Ishak, A Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang, dan lain-lain. 

Utusan menjadi akhbar utama meniupkan semangat nasionalisme anti-penjajah dan juga untuk mengisi kemerdekaan. Peranan ini diteruskan dengan lebih gigih setelah Said mengambil alih jawatan Ketua Pengarang Utusan pada 1959 apabila Yusof Ishak terpaksa melepaskan kedudukannya dalam akhbar itu dan kembali ke Singapura disebabkan tekanan politik kerajaan Tunku Abdul Rahman.

Utusan Melayu lama, gambar hiasan

Kisah perjuangan beliau memimpin mogok Utusan selama 100 hari memang sudah terpahat dalam sejarah kebebasan akhbar tanah air. Said telah memimpin para pekerja Utusan di Malaya dan Singapura melancarkan mogok mulai 21 Julai 1961 membantah tindakan Umno mengambil alih akhbar itu. 

Untuk meneruskan perjuangan itu di kalangan pekerja Utusan di Singapura, Said mengunjungi mereka pada 2 September tahun itu. Mengambil kesempatan itu, kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman telah bertindak mengeluarkan perintah melarang Said memasuki semula Malaya, satu perintah yang hanya dibatalkan pada bulan Mei 1989 oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

17 tahun malam memanjang

Di Singapura, jalur hidup Said berubah secara lebih drastik. Walaupun beliau dipujuk oleh Lee Kuan Yew dan pemerintah PAP untuk menyertai mereka, Said dengan tegas menolaknya. Sebaliknya, beliau memilih untuk menceburi perjuangan Partai Rakyat Singapura untuk menegakkan keadilan dan kebebasan. Dalam perhimpunan parti itu pada awal 1963, beliau dipilih untuk jawatan ketua umum. 

Namun belum sampai 24 jam beliau dipilih, beliau ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam Operation Cold Store pada 2 Februari 1963 atas tuduhan sebagai ‘Komunis’. Dengan demikian bermulalah satu babak baru dalam hidup beliau sebagai tahanan politik yang meringkuk di penjara selama 17 tahun. Beliau antara tahanan politik paling lama dalam tahanan sama ada di Malaysia atau Singapura. Beliau dianggap sebagai ikon nurani suara kebebasan dan keadilan, dan dipilih sebagai prisoner of conscience oleh Amnesty International. 

Semasa dalam tahanan, beliau mengajar bahasa Melayu kepada rakan-rakan seperjuangan Cina dan India yang mahu fasih berbahasa Melayu. Beliau sendiri mahir bahasa Mandarin yang dipelajari semasa dalam penjara.

Said yang berusia 34 tahun semasa ditahan hanya mendapat kembali kebebasannya setelah berusia 51 tahun. Beliau dibebaskan pada 22 Ogos 1979. Semasa beliau dalam tahanan, isterinya Salamah dengan gigih mengurus anak-anak yang masih kecil seramai empat orang untuk mendewasakan mereka.

Menghasilkan trilogi memoir

Setelah dibebaskan, Said berkhidmat sebagai editor Asia Research Bulletin dan kemudian beliau memimpin Xenia Editorial Services sebagai executive editor hingga 1994. Susulan perintah larangan masuk ke Malaysia telah dibatalkan, beliau berhijrah ke Malaysia pada 1994 bersama isterinya yang merupakan warganegara Malaysia dan menetap di Subang Jaya, Selangor. Setelah menetap di Malaysia beberapa lama, beliau diberikan status pemastautin tetap.

Said tidak pernah ke universiti untuk mendapat pendidikan tingginya. Tetapi penjara Singapura serta medan perjuangan Utusan adalah ‘universiti’ sebenar beliau dan beliau lulus dengan cemerlang. Pada tahun 1996, ketika berusia 68 tahun dan selepas mengalami serangan angin ahmar, beliau dengan bertongkat barulah menjejaki kaki ke universiti. Namun, bukan sebagai mahasiswa, tetapi sebagai karyawan tamu di Jabatan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menulis memoirnya. Demikianlah bermulanya projek trilogi memoir beliau: Memoir pertama Meniti Lautan Gelora terbit pada 2001 berkat sokongan UKM. Memoir ini yang terbit dalam tiga bahasa – Melayu, Mandarin dan Inggeris – menjadi bestseller dalam pasaran. Seterusnya memoirnya yang kedua, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah yang mengandungi kisah-kisahnya dalam tahanan terbit pada 2006. Dan yang terakhir Suara Bicara terbit pada 2015 ketika beliau sudah uzur .

Sebagai seorang wartawan veteran, beliau sering dikunjungi oleh ramai sahabat dan kenalan, khsusnya para wartawan muda untuk mempelajari pengalaman dan memperolehi tunjuk ajar. Beliau sering muncul di pelbagai media mengenai pelbagai isu dalam dan luar negara khususnya mengenai kebebasan media dan juga sejarah perjuangan melawan penjajahan.

Said Zahari bersama aktivis muda, gambar diambil pada 2015

Dengan peningkatan usia dan kesihatannya semakin merosot, justeru beliau semakin kurang muncul di media dan di depan awam, namun semangat beliau tetap ceria dan optimis. Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pada 2 Ogos 2015 semasa pelancaran memoir terakhirnya, Suara Bicara

Dalam dewan yang penuh sesak dengan para hadirin di Kuala Lumpur itu, Pak Said yang berkerusi roda menyampaikan ucapannya buat kali terakhir di khalayak umum. Walaupun suaranya tidak segagah seperti dahulu, gema pesannya tetap menusuk kalbu: “Hidup adalah perjuangan”.

Anugerah 'Tokoh Kebebasan Akhbar'

Sebagai tokoh wartawan daripada aliran berbeza, beliau berdiri pada garis yang jelas dan tegas. Sekalipun beliau tidak pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara sungguhpun beliau antara pejuang awal yang gigih membela kebebasan dan etika kewartawanan, peranan dan sumbangan beliau tetap mendapat pengiktirafan khususnya daripada para wartawan dan rakyat.

 Antaranya, beliau pernah dikalungkan Anugerah ”Tokoh Kebebasan Akhbar 2001” oleh Kumpulan Aktivis Media Independent (Kami) pada 2 Mei 2001. Pada tahun 2009 pula, beliau menerima Anugerah “Wartawan Cemerlang Negara 2009” yang telah disampaikan oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM).

Memoir beliau Dalam Ribuan Mimpi Gelisah telah memenangi Hadiah Sastera Perdana dalam kategori Biografi/Autobiografi untuk tahun 2006/2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, pada 2012, beliau menerima anugerah “Tokoh Penulis Selangor 2012” daripada kerajaan negeri Selangor.

Puisi dari penjara

Said Zahari berdiri sebaris dengan sejumlah tahanan politik lain yang hebat di dalam negara dan antarabangsa, yang telah mengorbankan masa paling berharga mereka dalam penjara dan mengobarkan semangat juang yang tidak boleh ditundukkan. 

Di luar negara, kita dapati tokoh-tokoh besar seperti Nelson Mandela yang berjuang menentang apartheid dan dikurung di penjara Pretoria, Afrika Selatan selama 27 tahun (1962-1990). Di Indonesia, sasterawan agung Pramoedya Ananta Toer ditahan selama 14 tahun (1965-1979) oleh rejim Soeharto di Pulau Buru.

Walaupun jasad dikurung, jiwa mereka bebas memeluk pertiwi, pemikiran pula menjangkau luas seantero benua. Semangat ini jelas terpancar sahaja dalam kehidupan harian Said Zahari. Juga dalam memoirnya serta dalam 100 lebih puisi beliau yang dinukilkan semasa dalam penjara. 

Antologi Puisi Dari Penjara yang kental dengan kerinduan pada kebebasan dan semangat perjuangan ini akan menemui pembaca dalam dwibahasa – Melayu dan Inggeris – tidak lama lagi, insya Allah.

Bersama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk roh almarhum!


PROFESOR EMERITUS DR ABDUL RAHMAN EMBONG boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.