Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan peruntuk RM1.5 juta bantu peniaga terkesan bazar Ramadan batal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta kepada peniaga bazar Ramadan yang terjejas akibat pengumuman penutupan bazar Ramadan di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu dibuat untuk meringankan beban peniaga yang terjejas akibat penutupan bazar Ramadan ini.

“Berita gembira kepada peniaga bazar Ramadan, kerajaan memperuntukkan RM 1.5 juta untuk memberi sedikit saguhati dengan peniaga yang terkesan dengan pembatalan pembukaan bazar.

“Setelah buat tinjauan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), angka peniaga yang berdaftar seramai 2500 orang yang terlibat dengan perniagaan bazar seluruh negeri Kelantan.

“Senarai PBT telah ada, PBT akan panggil mengikut nama-nama senarai peniaga tu. Misalnya MPKB ada lebih kurang 900 peniaga,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, berkenaan isu peniaga bazar Ramadan di Kelantan.

Terdahulu, pada 11 April lalu, Izani mengumumkan kerajaan Kelantan membatalkan kebenaran pengoperasian bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri tahun ini sebagai langkah menanagani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu. 

Dalam perkembangan itu juga, Izani memaklumkan untuk membayar balik wang bayaran tapak yang sudah dibayar oleh peniaga di bazar Ramadan masing-masing.

Katanya, segala proses bayaran akan dibincangkan dan diumumkan secepat mungkin selepas mesyuarat bersama Kerajaan Tempatan.

“Selepas ini saya ada mesyuarat Kerajaan Tempatan dan saya akan umumkan dalam mesyuarat tempatan dan pihak PBT akan terus melaksanakan tugas tu dengan secepat mungkin,” katanya menjelaskan peruntukan akan disalurkan dalam masa terdekat.

Malaysiakini semalam melaporkan kebanyakan peniaga di Kelantan terkesan dan kesal dengan pengumuman kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan secara mengejut.

Kelantan sejak seminggu lalu menunjukkan lonjakan kes Covid-19 yang membimbangkan sehingga mencatat bilangan kes tiga angka beberapa hari lalu.