Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Najib selesai hujah rayuan kes SRC

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setelah enam hari, pasukan peguam Najib Razak hari ini menyelesaikan hujah berhubung rayuan bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Peguam perayu, Farhan Read menyelesaikan hujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini.

Sebelum ini, pasukan peguam Najib memulakan hujah selama empat hari bermula pada 5 April minggu lalu.

Bagaimanapun mereka mengambil tambahan masa selama dua hari, iaitu semalam dan hari ini untuk menyelesaikan hujah mereka bagi membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib.

Selama enam hari perbicaraan, peguam antara lain berhujah bahawa Najib menjadi mangsa pendakwaan terpilih, bahawa hampir sebahagian besar pinjaman RM4 bilion kepada SRC telah dicuri, Najib tidak pernah mempunyai kepentingan dalam SRC dan bahawa hakim perbicaraan "termotivasi" untuk mempertanggungjawabkan Najib.

Panel hakim diketuai oleh hakim mahkamah rayuan Abdul Karim Abdul Jalil dan turut dianggotai hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan hujah balas semasa prosiding di Mahkamah Rayuan esok.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman ke atas Najib berhubung satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB yang bermasalah dan dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.