Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lelaki dihukum mati mahu hansard parlimen dimasuk ke dalam permohonan semakan hukuman

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua lelaki yang dijatuhi hukuman mati setelah mereka disabitkan kesalahan kerana mengedar dadah mahu memasukkan pendirian kerajaan semasa mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori dalam permohonan semakan mereka.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili kedua-dua lelaki itu memberitahu panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa beliau memohon untuk memasukkan hansard Dewan Rakyat mengenai cadangan pindaan hukuman mati dalam permohonan semakan yang difailkan anak guamnya itu.

"Apa yang kami ada adalah pendirian kerajaan sebelumnya," katanya dan menambah bahawa beliau perlu mengemukakan kepada mahkamah tentang kedudukan kerajaan semasa berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori sebelum prosiding permohonan semakan.

Ramkarpal kemudian memohon mahkamah supaya menangguhkan perbicaraan permohonan semakan itu bagi membolehkannya mendapatkan hansard tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah penangguhan perbicaraan semakan itu kerana mengatakan Ramkarpal seharusnya melakukannya lebih awal.

Warga Iran, Hamidreza Farahmand Hassan dan rakyat Malaysia, Ranjit Singh a/l Jit Singh, memfailkan permohonan semakan pada 2018.

Mereka memohon penangguhan pelaksanaan hukuman mati mandatori yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka sementara menunggu pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk memasukkan peruntukan bagi membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman selain hukuman mati.

Kedua-dua mereka disabitkan kesalahan kerana mengedar dadah dan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, yang mengetuai panel hakim itu berkata perbicaraan semakan kedua-dua lelaki itu telah ditangguhkan beberapa kali sementara menunggu Mahkamah Persekutuan memutuskan mengenai hukuman mati dalam kes mahkamah lain.

Beliau kemudian menanya Ramkarpal sama ada beliau sudah bersedia untuk berhujah dalam permohonan semakan itu tetapi Ramkarpal mengatakan beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian hari ini.

Mahkamah tidak membenarkan penangguhan perbicaraan itu. Susulan itu, Ramkarpal memberitahu mahkamah bahawa beliau menarik balik permohonan semakan dan mahkamah kemudian membatalkan permohonan tersebut.

Hakim lain yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Ramkarpal memberitahu pemberita bahawa beliau menarik balik permohonan semakan itu atas alasan beliau perlu mendapatkan hansard berkenaan dan beliau perlu mendapatkan arahan anak guamnya mengenai sama ada untuk memfailkan permohonan semakan baru.

- Bernama