Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan kerajaan tak ada wang itu berlebih-lebihan, kata Refsa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan kekurangan wang adalah berlebihan terhadap situasi semasa fiskal negara, kata badan pemikir Research for Social Advancement (Refsa).

Dalam satu kenyataan hari ini, penyelidik Refsa Jaideep Singh berkata walaupun Muhyiddin mengaitkan pakej rangsangan bernilai RM340 bilion sebagai beban kepada wang negara, suntikan fiskal sebenarnya cuma RM72.6 bilion atau hanya 21.4 peratus daripada pakej rangsangan.

"Cara mudah untuk menjelaskan tahap keadaan fiskal kerajaan adalah dengan melihat secara keseluruhan keadaan keseimbangan fiskal dan perbezaan antara pendapatan dan perbelanjaan kerajaan sebagai sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Memang langkah-langkah rangsangan mendorong perbelanjaan yang lebih tinggi di tengah asas pendapatan yang lebih kecil, dengan anggaran keseimbangan fiskal berada pada 6 peratus dari KDNK pada 2020 dan berpotensi meningkat menjadi 6.5 peratus tahun ini dari 3.4 peratus pada 2019 berdasarkan Jangkaan Ekonomi 2021.

"Namun, ini bukannya tidak pernah terjadi sebelum ini. Belanjawan 2009 menyaksikan defisit fiskal sebanyak 6.7 peratus di tengah-tengah krisis kewangan," kata Jaideep.

Dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$60 setong hari ini, bertambah dari AS$42 seperti yang diramalkan dalam Belanjawan 2021, Jaideep berkata sekarang bukan waktu yang betul untuk perdana menteri terlibat dalam tingkah laku bersikap berwaspada.

Sebaliknya, dia berkata, kerajaan harus menerapkan lebih banyak strategi pengembangan fiskal yang lebih terarah dan menarik pelaburan sektor swasta.

Katanya ia penting berbanding membuat kenyataan yang tidak berasas mengenai keadaan fiskal negara.

"Kita sudah dapat menjangkakan peningkatan pendapatan kerajaan melebihi anggaran 2021.

"Sekiranya ada, pakej Pemerkasa terbaru [...] menunjukkan bahawa kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk memperkenalkan suntikan baru," katanya.

Pakej Pemerkasa mengakibatkan kerajaan meminjam RM11 bilion untuk suntikan fiskal.

[Baca berita asal]