Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu tunggal kecewa anak ditahan reman berkali-kali

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang ibu tunggal mendakwa, anaknya yang berusia 18 tahun telah direman berlanjutan (chain remand) sejak Feb lalu dan kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

T Priscilla Devi, 44 berkata dia tidak tahu mengapa anaknya K Mitheswaran ditahan bawah Poca.

Untuk rekod reman berlanjutan bermaksud seseorang itu diberi kebenaran untuk ditahan reman semula sebaik saja tempoh sebelumnya tamat.

Menerusi sidang media di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini, Devi berkata polis telah menahan Mitheswaran di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 23 Feb.

Turut ditahan, katanya, ialah anak sulungnya Nisant Raj, namun dilepaskan pada hari sama.

Tambahnya, dia diberitahu Mitheswaran ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bandar Perda setelah pihak berkuasa menemui lima gram dadah methamphetamine.

“Bagaimanapun, ditanya lebih lanjut, pihak polis berkata berat dadah itu hanya 0.5 gram dan ia digunakan untuk hal peribadi,” dakwanya.

Mitheswaran direman tiga hari sehingga 26 Feb namun selepas itu dia ditahan kembali dan siasatan - yang asalnya membabitkan penyalahgunaan dadah - bertukar kepada dakwaan pecah masuk rumah.

Dari Bukit Mertajam ke Kulim

Pada 27 Feb dia direman lanjutan selama enam hari sehingga 4 Mac.

“Ketika saya jumpa anak saya pada 28 Feb, saya nampak di tangannya ada tanda hitam.

"Katanya ketika disoal siasat oleh bahagian narkotik pada 24 Feb dia diseksa dan dikenakan kejutan elektrik selama empat jam.

“Dia kemudian dipaksa menandatangani dokumen berjumlah 30 muka surat tanpa membacanya,” kata Devi.

Dia mendakwa pada 2 Mac pihak polis memaklumkan Mitheswaran akan ditahan mengikut Poca namun sebelum itu dibawa ke IPD Kulim, Kedah, terlebih dahulu untuk disiasat berhubung dakwaan pecah masuk rumah.

Kebenaran menahanan reman Mitheswaran kemudian diperolehi polis di Mahkamah Kulim.

Mitheswaran kemudian dibawa kembali ke IPD Seberang Perai Tengah pada 11 Mac sebelum dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 12 Mac untuk ditahan mengikut Poca.

Di bawah Poca polis mempunyai kuasa untuk menahan seseorang tanpa perlu didakwa atau dibawa ke mahkamah sehingga 60 hari.

“Saya betul-betul terseksa sekarang. Saya ibu tunggal dan tak ada kerja. Saya hanya harapkan kedua-dua anak lelaki untuk membantu saya,” jelasnya.

Devi kemudian mendakwa beberapa pihak berkuasa mengambil wang dengan alasan untuk menyediakan makanan untuk anaknya yang berada dalam tahanan.

Dia juga mendakwa memberikan wang berjumlah RM3,800 kepada anggota polis itu.

Pesuruhjaya Sukaham, Jerald Joseph

Ketika Mitheswaran ditahan, dakwa Dewi, polis mengambil wang berjumlah RM1,500 daripadanya dan sehingga kini ia belum dikembalikan.

“Saya terpaksa meminjam dengan saudara untuk membayar pihak polis,” dakwanya.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abdul Samad ketika dihubungi pula menggesa Devi untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Ketika ditanya kengapa Mitheswaran ditahan di bawah Poca, Shafee berkata remaja itu turut disiasat berhubung lima kes pecah masuk.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, yang menemani Devi dalam sidang media itu turut berkata Poca telah disalah guna untuk menahan Mitheswaran.

“Ini adalah pelanggaran hak asasi manusia dan polis sewenang-wenangnya menahan dia [...] dan apa yang lebih merisaukan ialah mahkamah meluluskan permohonan pihak berkuasa untuk menggunakan Poca untuk menahan remaja terbabit,” katanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph turut menyifatkan bahawa, tiada sebab untuk Mitheswaran ditahan di bawah Poca.

“Kenapa pihak polis nak menahannya untuk beberapa hari? Kamu (polis) hanya menahan seseorang kerana mempunyai keraguan dan bukti kukuh: kamu tidak boleh menahan orang dan mencuba nasib (mendapatkan bukti).

“Jika ada bukti, terus dakwa dia di mahkamah dan jangan terus menahan menggunakan Poca. Setiap hari sangat bermakna bagi manusia yang dipenjarakan," katanya.

Joseph menambah Suhakam akan menyiasat dakwaan Devi mengikut bawah akta badan terbabit. 

[Baca berita asal]