Skip to main
Logo Malaysiakini

Yawas tuntut C4 tarik balik namanya dari laporan biaya politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Gan Pei Nei menafikan laporan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) yang didakwanya memberi gambaran tidak tepat terhadap yayasan berkenaan.

Gan berkata dalam laporan tersebut, Yawas telah disenaraikan bersama skandal 1MDB serta beberapa skandal lain yang melibatkan ahli politik Umno dan BN.

"Cara laporan dan penyenaraian seperti ini tanpa semakan fakta dan ulasan yang lanjut daripada Yawas telah mengundang persepsi yang salah dan negatif terhadap pengurusan Yawas, seterusnya menjejaskan imej kerajaan negeri Selangor yang selama ini telah menguruskan sumber negeri secara telus demi kebajikan rakyat negeri Selangor," katanya dalam kenyataan.

Laporan bertajuk Foundations and Donations: Political Financing, Corruption, and the Pursuit of Power itu mendapati Yawas disalahgunakan oleh ahli politik akibat kelemahan tadbir urus dan ketiadaan undang-undang yang ketat bagi pembiayaan politik.

Ia juga menyenaraikan personaliti yang mempunyai kaitan dengan yayasan amal berkenaan termasuk Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang merupakan antara 12 individu yang disenaraikan.

Menurut laporan berkenaan, Amiruddin dikaitkan dengan empat yayasan milik kerajaan negeri dan salah satunya adalah Yawas.

Yawas merupakan yayasan yang diperbadankan pada tahun 2009, bertujuan untuk membantu rakyat Selangor. Tiada tuduhan terhadap yayasan itu direkodkan.

Yawas disebutkan sekali dalam dokumen setebal 60 halaman.

Sebahagian besar laporan menumpukan kajian melibatkan ahli politik seperti bekas perdana menteri Najib Razak dan bagaimana mereka didakwa menggunakan yayasan untuk tujuan tidak bertanggungjawab.

Gan berkata pengurusan Yawas sentiasa mematuhi tadbir urus korporat yang telah ditetapkan oleh undang-undang serta kerajaan negeri Selangor.

"Segala tatacara pengurusan Yawas adalah terikat dengan Memorandum dan Artikel Persatuan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," jelasnya.

Katanya lagi, Penyata Kewangan Tahunan Yawas juga diaudit oleh audit luaran dan dipantau oleh Jabatan Audit Dalaman Menteri Besar Incorporated (MBI).

"Malah, pengauditan yang dijalankan oleh pihak Audit Negara terhadap YAWAS pada tahun 2018 telah mendapati pengurusan Yawas berada di tahap pencapaian yang memuaskan.

"Dakwaan C4 terhadap Yawas adalah tidak berasas dan telah menjejaskan nama baik institusi kerajaan Selangor. 

"Sebagai sebuah NGO yang kononnya mengamalkan nilai ketelusan, C4 telah melakukan sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab

"Atas prinsip laporan yang adil, bahagian berkenaan Yawas dalam laporan C4 perlu ditarik balik," katanya.