Skip to main
Logo Malaysiakini

Video raya judi: PAS Wilayah, Wanita PKR gesa tindakan tegas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempromosi perjudian dalam talian ketika bulan Ramadan.

Gesaan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya susulan penularan lagu raya yang mempromosikan kegiatan "perjudian online" ketika umat Islam sedang berpuasa.

"Penularan sebuah video iklan oleh sebuah syarikat judi bukan sahaja mengganggu keharmonian awam ketika berada di bulan Ramadan, dengan menggunakan pelakon yang kelihatannya berbangsa Melayu bahkan berlatarkan (suasana) hari raya, hari kemenangan umat Islam.

"Bukan sahaja mengaibkan bahkan sangat jelas bertentangan dengan undang-undang di negara ini.

"PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan hari ini supaya lebih tegas dan efektif dalam membendung perkara-perkara sebegini. Mengapa perlu mengambil masa terlalu lama untuk menanganinya?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu klip video lagu raya yang mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan bagi memenuhi keperluan hari raya.

Klip video oleh syarikat judi tersebut memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.

Klip video iklan raya selama 2.48 minit di media sosial itu tular sejak malam tadi dan menerima kecaman netizen.

Antara bait lirik tersebut berbunyi:

Tapi mengapa kau muram saja
Duduk termenung seorang diri
Nak balik kampung duit tak ada
Tapi ada cara untuk mencari

Untung nasib mu engkau berjaya
Cuci semua kemudian beraya

Banyaklah wang boleh dimenangi
Mari ke GDBet 333
Menang banyak raya pasti happy

Singgung sensitiviti umat Islam

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh menyifatkan klip video mengajak pulang beraya dengan hasil judi menyingung perasaan umat Islam.

Justeru, Fuziah menggesa  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas pengeluaran lagu ini yang jelas melanggar Akta SKMM.

Katanya, 'kasino atas talian' itu boleh mempengaruhi umat Islam menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadan semata- mata untuk berhari raya.

Perbuatan Ini katanya amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih daripada dosa di bulan Ramadan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak polis bagi mendapatkan reaksi mereka.


Baca: SKMM minta FB, Twitter, YouTube turunkan video raya iklan judi