Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengundi nak Bersatu, PAS, Umno berbaik, tapi tak yakin ia berlaku

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perselisihan Umno dan Bersatu berlaku hanya kira-kira setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Walaupun dengan bantahan beberapa pemimpin parti, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan pendirian parti untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Penganalisis telah menyatakan kerjasama Umno dan Bersatu memang rapuh memandangkan kedua-duanya menyasarkan demografi - dari segi pengundi dan kerusi - yang sama.

Bersatu, yang kini mempunyai pengaruh kuat dalam kerajaan, dilihat mengugat kedudukan Umno sebagai parti utama orang Melayu.

Sementara itu, PAS dilihat memainkan peranan sebagai orang tengah kepada dua parti itu. Bersatu yang lemah akan memberi kelebihan kepadanya ketika rundingan kerusi nanti.

Dengan ketiga-tiga parti yang mempunyai agenda tersendiri, pengundi Melayu yang ditemui Kinitv, dari Petaling Jaya dan Sepang di Selangor hingga di Kedah, berharap Umno, Bersatu dan PAS akan dapat mencari jalan penyelesaian untuk bekerjasama.

Qhazali Ahmad

Bagi mereka, ia akan memberi banyak manfaat kepada pengundi.

“Kalau Umno dan PAS ni bersatu, baguslah. Orang kata semua (parti) Melayulah, itu bagus,” kata Qhazali Ahmad dari Kedah.

Turut sependapat dengannya adalah, Tuah, 26, pekerja di sebuah di Sepang, yang berharap tidak akan timbul sebarang salah faham di kalangan parti Melayu.

“Semuanya parti bumiputera, jadi kalau boleh jangan ada salah faham antara satu sama lain. Kalau boleh kita cuba perbaiki,” katanya.

Bagaimanapun apabila ditanya berkenaan mungkinan kerjasama ketiga-tiga parti ini menjelang PRU akan datang, tidak ramai yang menzahirkan harapan tinggi.

Tuah

Seorang lelaki dari Sungai Tiang, Kedah, yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan berkata, pertembungan Umno dan PAS di kawasannya begitu ketara sehingga mereka yang memiliki pendirian politik yang berbeza sering mengelakkan diri dari tampil di acara sama.

“Saya tak tahu tempat lain, tapi di Sungai Tiang mereka yang sokong Umno hanya bersama parti mereka sahaja. Jika ada jamuan dianjurkan keluarga yang sokong Umno, penyokong PAS takkan hadir. Mereka pecah belah," katanya.

‘Kami dah menyampah’

Seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Kak Cik pula berkata, ketiga-tiga parti itu seakan memilih untuk mengorak langkah berbeza.

“Bersatu nak ke haluan sendiri kerana ingin dapat semua dan ini buat kami tak syok sikit ” katanya.

Kak Cik

Beberapa lagi yang ditemui Kinitv turut meluahkan rasa kecewa melihat pertembungan politik yang berlarutan.

"Mereka tak tahukah yang masyarakat dah 'fed up' dengan hal-hal ini?

“Apa yang mereka nak, mereka buat. Jadi kita nak dengar buat apa,” kata Joe, 27, seorang penjual yang berasal dari Dengkil, Selangor.

Ahmad

Ahmad dari Kedah pula meluahkan rasa kecewa selepas melihat sikap ahli politik yang menurutnya langsung mengambil kira hal-hal berkaitan rakyat.

“Ini politik diri sendiri saja, kepentingan diri sendiri saja. Yang banyak kita tengok sekarang bila kena cekup dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjuta-juta (wang) jumpa.

“Sedangkan gaji menteri berapa saja tetapi mereka boleh hidup mewah lebih kaya dari ahli perniagaan. Ini politik cari makan untuk senang-lenang saja,” jelasnya.