Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Selangor rampas lebih 13kg syabu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Kontinjen Selangor menahan dua lelaki dan merampas 13.26 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM477,360 di kawasan parkir kereta sebuah pasar raya di bandar Mahkota Cheras, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Ahmad Jefferi Abdullah berkata suspek yang masing-masing berumur 30 dan 32 tahun itu adalah penganggur dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod kes jenayah.

“Dadah tersebut dijumpai di dalam but sebuah kereta Proton Persona yang digunakan oleh kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman enam hari sejak 13 April lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama