Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawalan SOP bazar Ramadan boleh diperkemas jika ada subsidi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kawalan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dapat diperkemaskan lagi sekiranya pihak penganjur mendapat subsidi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKM) Mohamed Zamri Mohammed ketika ini penganjur bazar Ramadan menanggung pelbagai kos seperti upah untuk anggota Rela berkawal.

“Dalam proses nak mematuhi SOP tu adalah kos terlibat, dan kos yang membebankan penganjur.

“Kita boleh buat kawalan yang lebih kemas sekiranya ada subsidi daripada PBT.

"Kalau nak lebih (perketatkan pemantauan) lagi peruntukan kena banyak. Kalau ada subsidi lagi kita bolehlah buat kerja yang lebih banyak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zamri menjelaskan kekangan yang dihadapi oleh penganjur dan peniaga adalah berdepan dengan kedegilan sikap orang ramai yang rata-ratanya enggan mematuhi SOP.

Tambahnya, mereka lebih gemar memasuki tapak bazar Ramadan dengan melangkaui penghadang yang disediakan berbanding melalui jalan masuk utama yang ditetapkan.

“Itulah kekangan kita - kedegilan orang ramai. Penguat kuasa yang boleh buat (bertegas) sebab kita tak ada kuasa.

Mohamed Zamri Mohammed

“Mereka tak patuh peraturan sebab bagi mereka buat apa nak beratur panjang-panjang kalau boleh masuk ikut bawah tali saja? Tu yang jadi penuh.

“Kita ni pun bukanlah penguat kuasa yang boleh larang dengan lebih tegas sebab nanti bergaduh pula,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata SOP di bazar Ramadan akan lebih teratur dan tersusun dalam masa lima hingga enam hari dengan melibatkan penguatkuasaan PBT.

Ahli gabungan jadi petugas tambahan

Katanya, PBT hanya perlu menggunakan SOP sedia ada iaitu penjarakan fizikal dan mewajibkan pemakaian pelitup muka seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Zamri berkata meskipun SOP dipatuhi 100 peratus dan mereka yang tidak mematuhi SOP dikenakan kompaun, ia mustahil dapat dikekalkan sepanjang Ramadan.

Dia berkata, apa yang dilakukan untuk mengawal rapi tapak bazar Ramadan setakat ini ialah dengan menggunakan khidmat anggota jawatankuasa GPPPKM sebagai tenaga tambahan.

Katanya dengan kos yang ada mereka berdepan dengan banyak kekangan antara lain kerana jumlah lot tapak penjaja yang berkurangan berbanding biasa bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dibuat.

 SOP untuk peniaga bazar Ramadan juga, katanya, telah ditambah berbanding SOP peniaga pasar malam pada Jun lalu.

Antaranya, etika pemakaian pelesen dan pembantu atau pekerja perlulah memakai pas khas yang dibekal oleh penganjur, diwajibkan memakai pelitup muka, digalakkan memakai pelindung muka dan sarung tangan pakai buang plastik serta mesti memakai apron pakai buang plastik.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata sekiranya pematuhan SOP bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan masih rendah, tempoh operasinya mungkin tidak akan bertahan sehingga akhir Ramadan.

Dia berkata demikian berikutan tidak berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan. 

Bimbang dengan kenyataan itu, Zamri berkata GPPPKM berharap ia tidak berlaku kerana dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan wujud kebimbangan dalam kalangan pengguna, pihaknya menjangkakan kunjungan keseluruhan tahun ini menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Untuk rekod, bazar Ramadan tahun ini diadakan dalam norma baru setelah penganjurannya dibatalkan tahun lepas kerana ancaman Covid-19.

“Memang orang ramai teruja sebab tahun lepas tak ada (bazar Ramadan),” kata Zamri.

“Dah jadi tradisi orang tertunggu-tunggu (bazar Ramadan)… Cuma musim Covid-19 ni memang ada orang yang bimbang terhadap tahap kesihatan sendiri, mereka tak nak datang.

“Mungkin kalau ada dulu orang yang tiap-tiap hari datang bazar pun kali ini mereka hanya datang sekali dua seminggu saja,” katanya.