Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda gabung Warisan? Tunggu, kata Syed Saddiq

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membuat pengumuman berhubung desas-desus partinya itu bergabung dengan Warisan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ahli parlimen Muar itu tidak menyatakan secara jelas bila ia akan diumumkan.

"Kita nantikan pengumumannya," katanya ringkas menerusi Live Facebook, malam tadi.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas adakah dia bersetuju Muda dan Warisan bergabung dalam program “Borak Jam 10” berjudul “Kita Unite” malam tadi.

Program bual bicara yang disiarkan menerusi Live Facebook itu turut menampilkan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, Muda dilaporkan akan bergabung dengan Warisan tidak lama lagi bagi membolehkan aktivis dan penggeraknya menyertai pilihan raya umum akan datang.

Langkah itu dikatakan kerana Muda gagal mendaftar sebagai sebuah parti yang sah.

Pun begitu, bekas menteri belia dan sukan itu memuji kepimpinan Shafie.

Syed Saddiq menyifatkan gaya atau corak politik bekas ketua menteri Sabah itu sangat baik untuk Malaysia.

"Agak sukar untuk kita lihat pemimpin diperingkat tertinggi seperti Datuk Seri Shafie yang terbuka telah pun menerima konsep Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, menerapkan konsep perpaduan yang sangat unity yang sangat utuh dan kukuh bagi negeri Sabah dengan berjayanya dan seperti yang saya tekankan tadi saya rasa sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, saya fikir ini bagus untuk Malaysia.

"Bagus juga untuk bangsa saya, agama saya dan ia harus diraikan bersama dan saya fikir untuk platform itu saja, kita perlu tubuhkan salah satu platform yang betul-betul berbilang bangsa, agama, moderate, yang fokus kepada pembaharuan dasar-dasar negara, polisi berdasarkan politik berbanding politik peribadi dan saya yakin dengan melihat prestasi yang Datuk Seri Shafie berjaya lakukan di Sabah saya fikir ia bagus untuk kita semua," katanya.

Sebelum ini, Warisan telah menukar perlembagaannya dari parti Warisan Sabah kepada Warisan sahaja bagi membolehkan parti ini bergerak ke Semenanjung.