SKMM minta pemegang platform turunkan iklan judi raya, tak semestinya dipenuhi
Meskipun kerajaan sudah meminta penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan Youtube untuk menurunkan kandungan video judi raya di media mereka, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), permohonan itu mungkin tidak 100 peratus dipenuhi.
Menurut Pengerusi SKMM, Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, ini kerana platform itu berpangkalan di luar negara, justeru mungkin berpegang pada nilai yang berbeza dengan rakyat Malaysia.
“Kita kena faham ya, nilai yang dipegang oleh pemegang platform, bukanlah nilai-nilai masyarakat Malaysia, sebab mereka ini berpangkalan di luar negara. Dan dia mengguna pakai nilai-nilai tertentu.
“Jadi apa yang mungkin tidak baik untuk kita, (mungkin) bagi dia tak ada jadi masalah. Jadi kita tak boleh jangka 100 peratus (permohonan kita dipenuhi). Itu penting.
“(Mungkin) Orang ingat, bila kita memohon, mereka akan turunkan. Sebenarnya tidak. Tapi kita akan cuba untuk meneruskan meminta mereka untuk menurunkan,” katanya dalam sidang media di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Putrajaya hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru bilangan video yang telah diturunkan pemegang platform setakat ini.
Katanya, seperti semalam, angka kandungan yang telah diturunkan pemegang platform media adalah masih pada kadar 13 peratus daripada 61 kandungan video yang diminta oleh SKMM untuk diturunkan di platform seperti Facebook, Twitter dan Youtube.
Sidang media itu turut dihadiri pengerusi Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah; Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dev Kumar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Dua video raya yang mengiklankan aktiviti perjudian, mencetuskan kekecohan dalam kalangan rakyat, apabila ia disiarkan dalam bulan Ramadan, dan mempunyai lirik lagu yang mengajak mengajak penganut Islam untuk berjudi sebagai persediaan menghadapi hari raya.
Video pertama berdurasi 2.48 minit itu tular kelmarin, manakala video kedua berdurasi 2.42 minit pula tersebar pagi semalam. Semalam, polis mengesahkan kedua-dua video itu dihasilkan oleh produksi yang sama.
Dev Kumar dalam perkembangan terkini, memaklumkan bahawa setakat ini, sebanyak sembilan tangkapan telah dibuat untuk video pertama, manakala empat lagi dibuat untuk video kedua.
Bagaimanapun, katanya, polis belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengupah untuk penghasilan video-video berkenaan.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru pemberian vaksin untuk petugas media, Saifuddin berkata, pihaknya sudah meminta agar ia disegerakan kerana pada pandangan KKMM, media juga sepatutnya tergolong dalam petugas barisan hadapan.
“Saya pun menangguhkan saya punya vaksin, sebab saya nak buat vaksin dengan media. Tunggu giliranlah, sama-sama.
“Maknanya, bila saya dapat tu, media pun dapatlah. Insya-Allah. Saya rasa fasa 2, insya-Allah,” katanya kepada petugas media.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai