Skip to main
Logo Malaysiakini

Tukang masak dituduh bunuh isteri, tolak mangsa dari tingkat 18

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George Town hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan menolak mangsa jatuh dari pangsapuri pada 10 April lepas.

Daneesh Xavier, 34, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Daneesh didakwa membunuh isterinya, S Primila, 35, dengan menolak mangsa jatuh dari tingkat 18 di Kondominium Bukit Awana, Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam pada kira-kira 12 tengah malam, 10 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala Daneesh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 April lepas, media melaporkan mayat seorang ejen insurans ditemui di atas bumbung bilik panel suis elektrik Kondominium Bukit Awana di George Town.

- Bernama