Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan bazir peluang laksana pembaharuan ketika darurat'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan sepatutnya dapat menangani kesan buruk akibat penguatkuasaan darurat pada masa ini menerusi kepakaran untuk menguruskan ekonomi, kata pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.

Namun, menurut Muhammed, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membazirkan peluang untuk memperkenalkan pembaharuan dalam pelbagai bidang di saat darurat.

"Darurat tidak semestinya memudaratkan jika pemerintah mempunyai kepakaran untuk mentadbir negara dengan sistem ekonomi yang lebih baik. Ini peluang yang bagi saya dibazirkan oleh pemerintah.

“Bagi pembaharuan, ketika (negara) dalam keadaan baik, bukan masa yang baik untuk melakukan pembaharuan. Tak ada orang yang mahu lakukan pembaharuan ketika (negara) dalam keadan baik.

“Tapi dalam waktu yang bermasalah ini, adalah masa tepat untuk kita buat pembaharuan yang komprehensif dan brutal,” katanya dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur hari ini.

Perbincangan itu turut disertai dua lagi pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Nungsari Ahmad Radhi dan Muhammed Abdul Khalid. Ia dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad selaku pengerusi jawatakuasa berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammed berkata dengan bidang kuasa yang diperolehi daripada pelaksanaan darurat, kerajaan boleh memperkenalkan pembaharuan dalam bidang penting seperti perlindungan sosial, sistem percukaian dan pendidikan.

“Kita tahu kesan Covid-19 kepada mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal amat teruk kerana mereka tidak dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ini (darurat) peluang untuk membaiki sistem sosial, kerajaan mempunyai kuasa. Sistem percukaian (juga) boleh diperbaharui ketika ini, untuk pastikan harga barang tidak naik.

“(Tetapi) Tidak dilakukan, sebaliknya ia diabaikan,” katanya.

Di peringkat global, kata Muhammed, terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan pemerintah gaya autokratik dan di Malaysia, katanya, ia membawa kepada pengisytiharan darurat yang memberi kesan negatif kepada ekonomi domestik.

“Bila kerajaan jadi sebegitu, banyak berlaku ketirisan. Tak ada semak dan imbang. Kekayaan negara dikaut oleh segelintir, (dan ia) tidak boleh disoal di Parlimen.

“Selalunya, pelaburan terhadap modal insan untuk (mendapatkan) keyakinan pelabur itu tidak berlaku. Ini memberikan kesan jangka panjang.

“Secara rumusannya, kerajaan yang bersikap autokratik sebegini tak baik untuk perkembangan ekonomi sekarang dan masa hadapan,” kata bekas penasihat ekonomi kepada kerajaan PH itu.

Pertemuan dengan Agong

Sementara itu, Khalid berkata Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat akan memohon untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi mempersembahkan hasil perbincangan hari ini, sekaligus menyokong gesaan mereka agar darurat ditarik balik.

Khalid Samad

Katanya, rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menasihati Agong untuk memperkenankan pengisytiharan darurat bagi mengawal wabak Covid-19.

“Mereka telah bertindak atas kepentingan politik mereka.

“Amat jelas, (mereka) sanggup mengutamakan kepentingan politik berbanding kepentingan negara dan rakyat jelata,” kata pengarah komunikasi Amanah itu lagi.

Pelbagai ahli politik dan pergerakan menyuarakan sokongan terhadap gesaan agar pengisytiharan darurat ditarik balik sebelum ia dijangka berakhir pada Ogos, sekaligus memberi ruang agar Parlimen kembali bersidang.