Bekas MB S’gor berkuasa lulus bayaran VSS - Mahkamah Persekutuan
Lapan bekas staf mantan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu memulangkan RM2.7 juta yang dibayar kepada mereka sebagai pampasan dalam skim pemisahan sukarela (VSS) pada 2014.
Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf semasa membenarkan rayuan bekas staf tersebut untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Rohana berkata Selangor Menteri Besar Incorporated (MBI), yang ditubuhkan di bawah Enakmen MBI, adalah entiti undang-undang tunggal.
Beliau berkata pada waktu berkenaan, Abdul Khalid secara sah diberi kuasa untuk meluluskan pembayaran VSS di bawah Enakmen MBI sendiri tanpa memerlukan persetujuan lembaga pengarah.
Hakim itu berkata kuasa Abdul Khalid berdasarkan Enakmen MBI itu tidak terikat dan tidak tertakluk kepada persetujuan lembaga pengarah.
Rohana berkata MBI gagal membuktikan bahawa kelulusan pembayaran VSS berkenaan adalah tidak sah.
Saman MBI tuntut kembali wang
Beliau berkata tidak ada syarat dalam Enakmen MBI atau undang-undang yang mewajibkan MBI ditadbir oleh lembaga pengarah dan menambah bahawa kegagalan untuk mendapatkan sanksi lembaga pengarah tidak boleh dikatakan sebagai keputusan yang melanggar undang-undang sehingga menjadikan keputusan itu tidak sah.
Rohana mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, serta memerintahkan MBI membayar kos RM50,000.
Hakim lain yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Yusof. Prosiding berlangsung secara dalam talian.
MBI mengemukakan saman pada Mei 2015 terhadap lapan individu berkenaan untuk menuntut kembali wang yang dibayar kepada mereka melalui VSS pada 2014.
Bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Hussin (gambar, atas) dibayar pampasan RM695,400 dan bekas ketua pegawai operasi Rohani Talib menerima RM524,400 manakala staf lain -- Arfa’eza Abdul Aziz menerima RM478,935, Mustapha Mohd Talib (RM265,320), Rahimah Kamarudin (RM265,650), Dr Sulaiman Masri (RM182,385), Abdul Halim Mohamed Yusof (RM186,300) dan Tuan Nazuri Tuan Ismail (RM115,200).
Pembayaran itu dibuat setelah Abdul Khalid meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 23 Sept, 2014 dan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menjadi penggantinya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2017 memutuskan bahawa pampasan yang dibayar kepada lapan individu itu adalah sah tetapi pada 2018, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut.
Peguam New Sin Yew mewakili bekas staf itu sementara Masturina Mohamad Radzi mewakili MBI.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai