Pemuda PH persoal cadangan tambah AP ayam tiga minggu menjelang Aidilfitri
Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoal cadangan kerajaan untuk menambah permit import (AP) ayam dalam tempoh tiga minggu sebelum Aidilfitri.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata jika diteliti dari segi proses ia memakan masa apatah lagi jika masih pada peringkat perbincangan.
"Kita tertanya-tanya juga apa keperluan penambahan AP ayam setelah diumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)? Kalau pun ia bersifat serampang dua mata dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang melambung kini, tidakkah proses itu akan memakan masa ketika perayaan Aidilfitri berbaki tiga minggu lagi?
"Jika diteliti daripada sudut prosedur dan proses, penambahan AP ayam sebenarnya memakan masa apatah lagi ketika kerajaan masih di peringkat memulakan perbincangan antara kementerian. Jika prosedur diikuti dengan betul, silap-silap hari bulan lepas raya baru ayam sampai.
"Seandainya menteri yang terlibat ‘berjaya’ mengetepikan prosedur yang ada dengan pemberian kuota AP berkenaan secara terus, timbul persoalan lebih kritikal, kroni mana pula yang akan dapat AP ayam melalui jalan pintas itu?"soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam media melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membincangkan penambahan permit import (AP) ayam bagi mengawal harga di pasaran.
Timbalan Menterinya, Rosol Wahid, berkata langkah itu diyakini mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga haiwan ternakan itu, terutama ketika musim perayaan.
Rosol berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu kenaikan harga ayam dan akan mencari penyelesaian bagi mengatasinya supaya pengguna tidak teraniaya.
Dalam pada itu Shazni berkata, kerajaan sepatutnya terlebih dulu membincangkan soal pengeluaran domestik ayam.
"Sewajarnya kerajaan daripada awal menumpukan usaha terhadap pengeluaran domestik. Berbincang dan merancang beberapa bulan sebelum agar bekalan barangan mentah mencukupi dengan kadar harga yang telah ditetapkan.
"Namun jika ini pun lambat atau tidak dibuat, bagaimana rakyat boleh percaya bahawa kerajaan akan telus dan tidak menyimpang dalam hal penambahan AP ayam ini?," katanya lagi.
Shazni yang juga Ketua Pemuda Amanah mengingatkan kerajaan supaya tidak menangguk di air keruh dengan menggunakan jalan pintas yang akhirnya menguntungkan kroni semata-mata.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengakui berlaku peningkatan harga ayam atas alasan peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport yang menjadi antara penyebab utamanya.
Berikutan itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam besar di negara ini, serta perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.
Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada harga RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai