Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi minta SKMM sekat akses laman judi dalam talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ekoran kontroversi video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian secara dalam talian baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) segera menyekat semua laman web tersebut.

Katanya sejak akhir-akhir ini isu kegiatan perjudian dalam talian dilihat semakin menjadi-jadi sehingga ke tahap menyentuh sensitiviti umat Islam terutama ia berlaku semasa Ramadan.

"Persoalannya ialah, mengapa begitu banyak laman web judi dalam talian (online casino) masih boleh beroperasi?

"Adakah membuat video promosi judi online itu sahaja kesalahannya?" kata Fahmi dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR itu turut mempersoalkan mengapa SKMM tidak menghalang akses ke semua laman web perjudian dalam talian terbabit.

"Adakah pangkalan data laman judi online ini berada dalam negara atau di luar? Apakah tindakan yang akan diambil?" soalnya lagi.

Beberapa hari lalu orang ramai menyatakan rasa marah dengan kemunculan sebuah iklan judi yang dihasilkan dengan latar belakang suasana Aidilfitri.

Kemudian didapati ia bukanlah satu-satunya iklan yang mempromosikan kegiatan perjudian yang dipercayai disasarkan kepada orang Islam di negara ini.

Selain menggunakan watak orang tempatan, iklan berkenaan juga dihasilkan hanya beberapa hari selepas umat Islam memulakan puasa Ramadan.

Parti politik juga menyatakan kehairanan masing-masing dengan kegiatan itu ketika kerajaan sekarang pernah dipromosikan sebagai didomonasi orang Melayu dan Islam.

Ia menyusul selepas kerajaan Perikatan Nasional didapati mengembalikan jumlah kekerapan cabutan khas nombor ekor kepada 22 kali setahun berbanding hanya lapan kali semasa Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini seramai 18 orang sudah ditahan polis untuk membantu siasatan.

Menurut Fahmi satu lagi isu yang menimbulkan tanda tanya ialah mengapa pengusaha yang mendalangi kegiatan perjudian dalam talian itu tidak ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

"Berapa ramai rakyat Malaysia - terutama orang Melayu Islam - yang terjebak dengan gejala judi akibat adanya judi online ini?" katanya.

Untuk rekod pada 18 Apr lalu Pengerusi SKMM Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek memberitahu media kerajaan sudah meminta penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube agar menurunkan kandungan video iklan judi raya berkenaan.

Namun katanya kerajaan menjangkakan tidak semua permintaan SKMM itu akan dipenuhi pengendali platform terbabit.

“Orang ingat, apabila kita memohon, mereka akan turunkan. Sebenarnya tidak. Tapi kita akan cuba untuk meneruskan meminta mereka untuk menurunkannya,” kata Fadhlullah.