Skip to main
Logo Malaysiakini

Cucu bekas MB Terengganu berbasikal jadi penghantar makanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelibat seorang remaja perempuan yang berbasikal ketika menghantar makanan ditempah pelanggan sejak dua bulan lepas sering mencuri perhatian penduduk sekitar di Chukai.

Kegigihan Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim, 19, yang sanggup berpanas dan berhujan dengan berbasikal untuk memastikan pesanan pelanggan dihantar tepat pada masanya amat dikagumi kerana tidak ramai remaja seperti dia mahu melakukan kerja sebagai penghantar makanan.

Identiti sebenar Wan Nabihah akhirnya terbongkar baru-baru ini dan mengejutkan orang ramai apabila bapa remaja terbabit, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar memuat naik hantaran di Facebook mengenai usaha anaknya itu.

Wan Nabihah itu rupa-rupanya cucu bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Wan Mokhtar Ahmad. Wan Abdul itu pula pernah menjadi Adun Air Putih.

Ketika dihubungi Bernama, Wan Nabihah mengakui tujuannya bekerja sebagai penghantar makanan adalah untuk mencari duit poket dan memperoleh pengalaman baru sepanjang cuti semester ketika ini.

"Saya pilih menjadi penghantar makanan Foodpanda kerana tertarik dengan masa bekerja yang fleksibel.

"Oleh kerana masih tiada lesen motosikal, saya gunakan basikal saja untuk memudahkan pergerakan.

"Alhamdulillah pendapatan dalam tempoh seminggu kerja saya boleh dapat lebih RM500.

"Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki halal asalkan tidak terlalu memilih pekerjaan," katanya yang ketika ini sedang mengikuti pengajian di peringkat Asasi perniagaan di Taylor’s College di kampus Lakeside, Subang Jaya Selangor.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata dia sentiasa memakai krim pelindung matahari serta cermin mata hitam untuk melindungi kulit wajahnya ketika berbasikal.

Ramai yang tak sangka 

Hal itu kerana banyak tempahan makanan yang perlu dihantar antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

"Kalau hujan renyai pula, saya redah saja dengan memakai jaket dan memperlahankan kayuhan kerana jalan agak licin. Tapi, kalau hujan terlalu lebat terpaksa berhenti sekejap cari tempat berteduh yang sesuai," katanya.

Ditanya mengenai reaksi ibu bapanya memandangkan latar belakang keluarga mereka sebagai ahli politik dan arwah datuknya adalah bekas menteri besar, Wan Nabihah berkata ia bukan halangan malah keluarganya memberi sokongan agar dia belajar berdikari serta merasai sendiri kesusahan mengharungi cabaran hidup.

"Perasaan malu sebab pandangan orang lain mesti letak ke tepi dan paling penting kita mesti percaya dengan kemampuan diri sendiri.

"Percaya juga yang apa kita buat sekarang ini mungkin akan jadi inspirasi kepada orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik.

"Sebagai remaja, mempunyai duit poket hasil titik peluh sendiri juga adalah satu kepuasan.

"Saya sendiri menggunakan sebahagian wang itu untuk dilaburkan semula demi perancangan kewangan masa depan," katanya yang berehat seketika dari menghantar makanan sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, kiriman di laman Facebook Wan Abdul Hakim mengenai anaknya itu mendapat banyak komen positif yang memuji semangat dan kegigihan Wan Nabihah kerana sanggup keluar dari zon selesa demi mencari rezeki dengan kudratnya sendiri.

Ramai tidak menyangka remaja yang pernah menghantar makanan mereka sebelum ini adalah anak dan cucu kepada tokoh politik yang dihormati kerana banyak jasa dilakukan untuk rakyat selama ini.

Pelayar Facebook juga berharap usaha Wan Nabihah itu akan menjadi teladan kepada remaja lain dan pada masa sama memuji corak didikan yang diterapkan Wan Abdul Hakim.

- Bernama