Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 250 pelajar di Kelantan positif Covid-19 dalam 2 minggu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seramai 259 atau 56 peratus daripada 464 individu yang dikesan positif Covid-19 di Kelantan adalah pelajar sekolah menengah, kata pengarah jabatan kesihatan negeri itu Dr Zaini Hussin.

Katanya jumlah selebihnya merupakan guru, kakitangan sekolah, murid sekolah rendah, kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun dan individu lain berusia lebih 19 tahun.

Angka itu kata Zaini berdasarkan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh dua minggu iaitu antara 3 hingga 16 April lepas.

Menjelaskan perkara itu, Zaini berkata seramai 111 orang atau 24 peratus yang dikesan positif adalah murid sekolah rendah berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

"Bagi kanak-kanak berusia kurang daripada tujuh tahun, ada seramai lapan orang (dua peratus) manakala 86 orang (19 peratus) pula adalah individu berusia lebih 19 tahun (termasuk guru dan kakitangan sekolah).

“Daripada 464 kes itu daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 189 kes diikuti Tumpat (113), Tanah Merah (55), Pasir (36), Machang (20), Bachok (17), Pasir Puteh (15), Kuala Krai (8), Jeli (7) dan Gua Musang (4)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata hasil kajian yang dilakukan mendapati jangkitan pantas berlaku di sekolah disebabkan pelbagai faktor antaranya ia mudah tersebar terutamanya di asrama.

"Pihak sekolah juga dilihat ada yang masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya jangkitan," katanya.

Jelasnya, berdasarkan situasi semasa di Kelantan termasuk kewujudan kluster baru, Jabatan Kesihatan Kelantan menjangkakan kes positif Covid-19 pada minggu ini berkemungkinan mencecah antara 200 hingga 300 kes sehari.

- Bernama