Takiyuddin: Ada pihak nak raih populariti, tafsir undang-undang ikut selera
Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang diseru supaya bertindak mengikut lunas undang-undang yang termaktub, termasuk dalam memberikan kefahaman serta pencerahan tentang undang-undang kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan dukacita kerana ketika jentera kerajaan menumpukan usaha termasuk kewangan untuk memerangi Covid-19, terdapat sesetengah pihak yang cuba membuat tafsiran tentang undang-undang mengikut selera sendiri.
Tindakan itu, katanya seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.
“Sebagai badan profesional bidang undang-undang, saya yakin Majlis Peguam tetap mendukung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara, serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang.
“Ini terutamanya ketika negara berada dalam keadaan kritikal dan getir, dengan penularan berterusan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Jan lalu, selepas berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam, di dalam Persekutuan.
Langkah itu dilakukan bagi membolehkan kerajaan memperkasakan usaha-usaha membasmi wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini, termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu.
“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat, yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan semua lapisan masyarakat dapat memahami langkah kerajaan itu adalah demi kebaikan individu, masyarakat, komuniti dan negara keseluruhannya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai