Mahathir pernah nak pecat Yeo Bee Yin, dakwa Chin Tong
- Dikemas kini supaya lebih jelas.
Pada awal Jan tahun lalu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, meletakkan jawatannya sebagai menteri pendidikan. Walaupun begitu ia dilihat sebagai langkah yang diarah oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun nampaknya bukan Maszlee saja menteri yang ingin digantikan oleh ahli parlimen Langkawi itu jika melihat kepada kandungan buku baru tulisan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, berjudul Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter.
Buku karya bekas timbalan menteri pertahanan itu dihasilkan sebagai naskhah biografi veteran DAP, Lim Kit Siang, namun ia turut menawarkan beberapa maklumat dalaman mengenai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertahanan selama 22 bulan.
Pada 15 Ogos 2019, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengumumkan syarat baru - dan signifikan - untuk syarikat Lynas Malaysia (Lynas) mendapat lesen daripada kerajaan.
Untuk rekod AELB merupakan agensi yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Ketika itu ia diketuai Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin.
Antara syarat yang ditetapkan AELB ialah Lynas mesti memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) ke Australia dalam tempoh empat tahun.
Ia adalah proses sama yang menyebabkan penumpukan sisa radioaktif di kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
Lynas juga dikehendaki membatalkan rancangan mereka untuk mengkomersialkan sisa buangan mereka - yang didakwa memiliki kadar radiasi rendah - sebagai baja yang dikenali sebagai "Condisoil".
Hasrat Mahathir dibatalkan
Selain itu AELB mensyaratkan Lynas membina kemudahan deposit kekal (PDF) untuk menyimpan sisa yang sudah dihasilkan sejak 2012 dan berterusan sehingga 2023 iaitu apabila kemudahan proses pemecahan dan larut lesap mereka dipindahkan ke Australia.
Pengumuman itu dibuat pada Khamis, 15 Ogos 2019. Apabila mesyuarat kabinet berlangung pada Rabu minggu berikutnya (21 Ogos 2019), kata Liew, Mahathir bercadang untuk membuat sedikit rombakan.
"Berita itu terbocor dan kami cemas," kata Liew.
Selepas itu, kata Liew, pemimpin-pemimpin PH berjumpa Mahathir di pejabatnya.
Tambah anggota Dewan Negara itu lagi, dia kemudian mendapatkan maklumat mengenai apa yang berlaku daripada menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.
"Saya tinggalkan bangunan (pejabat perdana menteri) ketika pemimpin-pemimpin (PH) masuk ke bilik perdana menteri, (saya) dapat tahu daripada Guan Eng ketika kami berjumpa dengan Kit Siang kemudiannya, bahawa Mahathir mahu menyingkirkan Yeo kerana ketegasannya berhubung isu Lynas dan isu-isu lain berkaitan alam sekitar.
"Pemimpin-pemimpin (PH) berjaya memujuk Mahathir daripada meneruskan rancangannya itu. Yeo kekal (sebagai menteri)," katanya.
Liew juga tidak menjelaskan secara khusus apa yang membuat Mahathir kecewa dengan tindakan Yeo.
Malaysiakini masih menunggu reaksi daripada pejabat Yeo berhubung dakwaan berkenaan.
Lebih dua bulan selepas kejadian itu Mahathir bertemu dengan Perdana Menteri Australia Scott Morrison semasa kedua-dua mereka menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok, Thailand.
Menurut Mahathir dalam pertemuan berkenaan Morrison meluangkan banyak masa untuk meminta agar syarat-syarat yang ditetapkan Malaysia ke atas Lynas dibatalkan.
Syarat itu akhirnya dikekalkan tetapi kerajaan masih belum dapat menutup sepenuhnya kemudahan Lynas di Kuantan.
Liew mengakui gerakan membantah Lynas oleh DAP sejak 2012 mewujudkan penyokong tegar parti itu yang mengharapkan kilang berkenaan ditutup segera.
Untuk rekod, sama ada Lynas ditutup atau tidak, sisa radioaktif yang terkumpul di Gebeng, Kuantan sejak 2012 tetap masih harus diuruskan.
Feb lalu Malaysiakini melaporkan Lynas bercadang untuk menyimpan sisa buangan mereka di kawasan tadahan air di Bukit Ketam, Kuantan walaupun pada awalnya syarikat terbabit menafikan ia adalah kawasan tadahan air.
PDF adalah sebahagian daripada kemudahan pembuangan sampah bersepadu yang lebih luas yang mempunyai pembabitan kerabat diraja Pahang.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melepaskan pegangan saham langsungnya dalam projek itu berikutan laporan Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai