Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Adham: 4,868 kes Covid-19 di sektor pendidikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan status terkini kes Covid-19 dalam Sektor Pendidikan di Malaysia sehingga 20 April 2021.

Katanya, bermula dari 1 Januari 2021 sehingga 20 April 2021, sebanyak 83 kluster Covid-19 dengan jumlah 4,868 kes melibatkan Sektor Pendidikan telah dilaporkan oleh CPRC Kebangsaan KKM.

"Daripada jumlah 83 kluster tersebut, sebanyak 49 (59.04 peratus) kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif dan 34 (40.96 peratus) kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat," jelasnya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Adham daripada jumlah kluster tersebut juga, sebanyak 39 (46.99 peratus) kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"(Sementara) 19 kluster (22.89 peratus) dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi dan 25 (30.12 peratus) kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Lain," jelasnya lagi.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan menyambut baik komitmen semua sektor pendidikan dalam memastikan para pelajar dan pelatih tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan latihan secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

"Oleh itu KKM ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan Covid-19.

"Nasihat umum KKM perlu sentiasa diamalkan sebelum, semasa, dan selepas waktu pembelajaran atau latihan," katanya lagi.

Sebelum ini, Dr Adham berkata keputusan berkenaan penutupan sekolah berikutan kes Covid-19 adalah berdasarkan penilaian bersama Pejabat Kesihatan Daerah dengan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri.

Jelasnya, penilaian itu mengambil kira antaranya bilangan kakitangan dan murid sekolah yang terpaksa menjalani kuarantin atau Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah disahkan positif Covid-19.

“Bagaimanapun, jika melibatkan anak murid tetapi kakitangan sekolah tidak terlibat, kita boleh buka sekolah tersebut,” katanya pada 18 April.

Setakat ini, Kelantan mengarahkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh daerah, manakala Sarawak pula menutup semua sekolah di zon merah Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.