Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak pakai pelitup muka, enam pelajar dikurangkan kompaun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dua hari lepas, telah diberikan pengurangan kompaun, demikian menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Beliau berkata dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran semalam, kesemua pelajar telah hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada.

“Rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan bahawa pelajar itu adalah dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan terhadap pengurangan lanjut sedang dijalankan untuk pertimbangan pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan.

Beberapa media sebelum ini melaporkan enam pelajar kolej berkenaan dikompaun oleh KKM masing-masing sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dengan lengkap di samping gagal mengamalkan penjarakan fizikal, dan tindakan itu mendapat perhatian ramai warganet.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.