Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin: Khairy perlu bentang sasaran yang lebih terperinci - Adun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) perlu membentangkan sasaran lebih terperinci berkenaan jumlah warga yang ingin divaksin, menurut Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Rajiv berkata, ini bagi membolehkan semua pihak mengukur sejauh mana perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dia mengulas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang dilaporkan berkata Malaysia tidak "lembab" dalam menjalani vaksinasi Covid-19.

Khairy merupakan menteri penyelaras program imunisasi dan pengerusi bersama JKJAV.

"Khairy perlu telus berkenaan sasaran imunisasi secara bulanan bagi mencapai sasaran 80 peratus menjelang Disember, bukan hanya mengulang yang Malaysia 'tidak lembab' seperti yang baru disebutnya pada 19 April," kata Rajiv.

Fasa kedua program imunisasi yang melibatkan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit bermula Isnin. Menurut pelan program, kerajaan menyasarkan seramai 9.4 juta orang menerima vaksin menjelang Ogos ini.

Pada Selasa lalu, Khairy juga berkata sekurang-kurangnya 95 peratus daripada 571,000 petugas barisan depan telah menerima dos pertama vaksin.

Rajiv Rishyakaran

Rajiv menggesa sasaran dibuat secara lebih spesifik, bukannya secara umum.

"Tanpa sasaran dan matlamat yang ditetapkan, senang untuk mendakwa kita mengikut jadual dan fasa. Tetapi kita hanya dimaklumkan tentang hal-hal umum pelan dengan angka-angka besar.

"Menurut Khairy, negara akan ada cukup vaksin menjelang Jun bagi semua yang telah berdaftar. Jadi, bagaimana ini dapat diuruskan secara cekap?" soalnya.

Pada masa ini, ketelusan sangat penting apatah lagi tiada semak dan imbang daripada Parlimen, katanya.

Justeru, dia menggesa kerajaan memberikan maklumat berkenaan bilangan orang yang ingin divaksin secara harian atau bulanan.

Garis masa dan bilangan vaksin yang dijangka juga perlu dimaklumkan, katanya lagi.

Awal bulan ini, JKJAV menerbitkan graf menunjukkan unjuran bekalan vaksin Covid-19 menjelang akhir tahun ini, tetapi ia tidak diiringi angka yang khusus.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan jumlah orang yang menerima vaksin setiap hari, yang boleh dilihat di laman penjejak Malaysiakini.

Setakat 20 April, kira-kira 2.2 peratus penduduk Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin.