Skip to main
Logo Malaysiakini

Amat menjijikkan, kata Rafidah ulas isu pemeriksaan haid pelajar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua bekas menteri kanan, Rafidah Aziz dan Azalina Othman Said hari ini meluahkan rasa marah dan terkejut mereka susulan pendedahan amalan "pemeriksaan haid" terhadap pelajar khususnya di institusi berasrama penuh. 

“Ini amat menjijikkan dan melanggar privasi seseorang. Tak ada agama yang membenarkan tindakan ini.

“Kementerian Pendidikan Malaysia mesti hentikan amalan mengarut itu dan nyatakan dengan jelas bagaimana pihak sekolah perlu melayan pelajar, termasuk di sekolah berasrama penuh," kata Rafidah kepada Malaysiakini.

Jelas bekas ketua Wanita Umno itu lagi, tidak ada sebarang alasan bagi mana-mana pihak untuk melanggar hak privasi seseorang sehingga sedemikian rupa.

“Kita tidak boleh biarkan persekitaran sekolah menjadi seakan situasi diktator, dengan ada peraturan yang melampau,” kata Rafidah yang menjawat jawatan menteri kabinet pada tahun 1980 hingg 2008.

Sementara itu Azalina yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat juga tidak dapat menahan kemarahan dengan laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai suatu pencabulan terhadap hak seseorang.

“Ini adalah dasar polis moral dan agama yang bercanggah dengan hak asasi manusia.

"Saya akan mengalami rasa trauma seumur hidup,” kata anggota parlimen Pangerang itu.

Bersama desak hentikan amalan

Hari ini Malaysiakini mendedahkan berlaku amalan memeriksa pelajar perempuan sama ada mereka benar-benar mengalami haid untuk mendapat pelepasan daripada melakukan solat atau ibadat lain.

Pemeriksaan tersebut - yang dilakukan guru, warden asrama atau pengawas - didakwa mungkin berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Pembuktian dikatakan perlu dibuat dengan meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan mereka menggunakan kapas, tisu atau jari.

Malah pelajar juga mendakwa mereka diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh, namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan amalan sedemikian tidak wajar kerana setiap orang mempunyai maruah yang wajib dihormati, termasuk hak menutup bahagian sulit daripada dilihat oleh orang lain.

Selain itu, beberapa NGO hak asasi wanita turut mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan itu dan menggesa pihak seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan.

Kata Rafidah amalan demikian dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi, khususnya menyasarkan wanita.

“Ibu-bapa perlu jadi proaktif sebagai berkumpulan untuk mengawasi hal tersebut dan menghentikan amalan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya memberitahu Malaysiakini, dia masih tidak mendapat maklumat dan tidak dapat mengulasnya buat masa ini.