Skip to main
Logo Malaysiakini

KLSCAH: Buku sejarah abaikan sumbangan bukan Melayu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memperbetulkan buku teks sejarah tingkatan 3 yang didakwa gagal mendokumentasikan dengan tepat berhubung sumbangan masyarakat Cina dan India di Kuala Lumpur.

KLSCAH berkata setiap etnik harus mempunyai bahagian yang saksama di tempat mereka dalam sejarah tetapi Buku Teks Sejarah Tingkatan 3 (Cetakan Pertama 2018) memberi tumpuan kepada sejarah perubahan sosial, sistem politik sejarah pelbagai negeri di bawah pemerintahan kolonial dan bagaimana masyarakat tempatan menentang penjajah.

"Bagaimanapun, versi terbaru buku teks tingkatan 3 ini mengabaikan fakta sejarah mengenai sumbangan etnik lain seperti orang Cina dan India kepada masyarakat setempat.

"Hanya ada beberapa baris teks yang memperkenalkan mereka secara ringkas tanpa butiran tambahan," kata KLSCAH dalam kenyataan hari ini.

Persatuan itu menambah bahawa buku teks berkenaan, juga gagal menyentuh peranan ketua komuniti Cina Yap Ah Loy pada awal pembangunan Kuala Lumpur, yang bertanggungjawab menubuhkan orde sosial baru dan membina semula Kuala Lumpur susulan perang saudara.

"Yap juga adalah perintis kerjasama pelbagai budaya untuk semua etnik dan diiktiraf oleh pegawai Sultan Selangor dan British. Masyarakat Cina dan Raja Melayu juga berkerjasama erat.

"Sama ada mereka adalah pemimpin masyarakat Melayu atau bukan Melayu, sumbangan tokoh sejarah sepertinya dalam perkembangan Kuala Lumpur hampir hilang dalam kandungan buku teks ini," katanya.

Tokoh-tokoh itu, antaranya, Yap, Raja Abdullah Raja Jaafar, Sultan Puasa dan Abdullah Hukum, hanya disebut dalam beberapa perkataan pada muka surat 61, di bawah bahagian "kemahiran berfikir" yang bermaksud bahawa pelajar perlu mengadakan perbincangan kumpulan.

KLSCAH berkata sumbangan sejarah etnik lain kepada pembangunan Kuala Lumpur mesti djelaskan kerana banyak komuniti yang berbeza bekerja dengan tekun untuk membangunkan ibu negara seperti apa yang ada hari ini.

Ia berkata bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan dengan hanya merekodkan pendapat satu etnik tidak akan mencerminkan konsep kepelbagaian serta inklusif negara.

Memandangkan demikian, ia mencadangkan agar kerajaan mendapatkan pendapat sarjana sejarah dari semua etnik mengenai sejarah Kuala Lumpur dan menyemak sukatan pelajaran sejarah.

"KLSCAH percaya bahawa matlamat utama penerbitan buku teks sejarah adalah huraian sejarah negara. Walau bagaimanapun, kekurangan model pengajaran yang merangkumi sejarah hanya akan menyempitkan pandangan pelajar terhadap sejarah negara kita, yang tidak akan membantu menggalakkan perpaduan merentasi budaya.

"Hanya dengan memulihkan fakta-fakta sejarah etnik kitasecara objektif, rakyat akan mempunyai identiti yang boleh dibanggakan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Ahli sejarah Ranjit Singh Malhi sebelum ini mededahkan bahawa buku sejarah tingkatan 1 hingga tingkatan 5 mempunyai kesilapan yang ketara dan bahawa 17 daripada 18 penulis siri berkenaan adalah daripada kumpulan etnik yang sama.

Ranjit juga mendakwa pengarangnya sebagai berat sebelah.