Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan buka program rekalibrasi Pati kepada 4 subsektor perkhidmatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini bersetuju untuk membuka program rekalibrasi tenaga kerja Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) kepada majikan dalam empat subsektor perkhidmatan.

Dalam kenyataan bersama menteri Hamzah Zainuddin dan M Saravanan menyatakan bahawa ia membabitkan subsektor restoran, subsektor borong dan runcit, subsektor pembersihan dan subsektor pencucian dan kargo.

"Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, Kali Ke-5, telah dipengerusikan bersama oleh saya, Menteri Dalam Negeri dan M Saravanan, Menteri Sumber Manusia.

"Setelah memperhalusi semua cadangan serta makluman yang dibentangkan, mesyuarat jawatankuasa memutuskan untuk membuka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada majikan dalam empat subsektor perkhidmatan," katanya.

Untuk rekod, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang dilaksanakan pada November tahun lepas, tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.

Program itu adalah bagi meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing sah tertakluk kepada syarat ketat.

Sebelum ini, program ini merangkumi sektor pembinaan, pertanian, perladangan dan perkilangan.

Sementara, mesyuarat hari ini juga bersetuju memperluas syarat kelayakan penyertaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada Pati yang tergolong di bawah beberapa kategori.

Antaranya, Pati yang telah mendaftar bagi Program Rehiring dan 6P tetapi tidak melengkapkan proses permohonan dan tidak menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui program tersebut, Pati yang lari tetapi tidak dilaporkan oleh majikan dan Pati yang mempunyai dokumen perjalanan negara asal yang tulen dan sah.

Selain itu, mesyuarat jawatankuasa bersetuju melibatkan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang berlesen di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan program Pelan Rekalibrasi Pati.

"Walau bagaimanapun, majikan masih perlu hadir ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi melaksanakan semua urusan di JIM seperti pengambilan biometrik dan sebagainya.

"Mesyuarat Jawatankuasa turut memutuskan supaya moratorium sehingga 31 Disember 2021 diberikan kepada warganegara asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan untuk memperolehi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek," tambahnya.