Skip to main
Logo Malaysiakini

Kajian: Masyarakat Orang Asli amat tak percaya maklumat berkaitan politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kajian baru menunjukkan beberapa suku Orang Asli di Kelantan, Sabah dan Sarawak sangat tidak mempercayai maklumat berkaitan politik dan ahli politik.

Ia dinyatakan dalam sebuah penilaian ekosistem maklumat (IEA) yang melibatkan tiga penempatan Orang Asli Temiar di Gua Musang, Kelantan, masyarakat Orang Asli di Melangkap dan Pitas di Sabah, serta di Kampung Lebor dan Nanga Bekatan di Sarawak.

"72 peratus (responden) tidak percaya maklumat politik. Kebanyakannya menganggap kandungan, sama ada dalam media tradisional mahupun baru, sebagai berat sebelah.

"Tanggapan ini membawa kepada sikap tidak peduli," menurut laporan kajian yang diterbitkan pada 19 April lalu.

IEA kualitatif itu diadakan antara Ogos dan Oktober 2020 oleh NGO antarabangsa Internews dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Di Gua Musang, dua pertiga responden di kalangan tiga masyarakat Temiar percaya berita politik adalah kandungan yang paling tidak diyakini, ekoran propaganda dan berat sebelah yang tinggi.

"80 peratus golongan muda yang menyertai kajian menyatakan mereka tidak percaya sebarang maklumat tentang politik.

"Seorang responden wanita berkata semua ahli politik adalah sama; kata-kata mereka tidak bermakna apa-apa jika tidak disusuli dengan tindakan," menurut laporan itu.

'Sukar bezakan fakta dan fiksyen'

Tahap ketidakpercayaan di kalangan tiga masyarakat Temiar begitu tinggi sehingga kebanyakan golongan muda dan wanita Orang Asli amat kurang kemungkinan untuk bertindak terhadap sebarang maklumat politik yang mereka terima.

Sementara itu, di Melangkap dan Pitas di Sabah, empat daripada lima responden berkata mereka cenderung untuk mengabaikan sebarang berita berkaitan politik kerana sukar untuk membezakan antara fakta dan fiksyen.

"Apabila ditanya lebih lanjut, mereka berpandangan kebanyakan kata-kata ahli politik adalah penipuan untuk memancing undi dan meraih simpati.

"Mereka juga fikir ada terlalu banyak berita politik sehingga mereka tidak dapat membezakan fakta dan berita palsu.

"Maka, responden yang kebanyakannya wanita mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mengabaikan berita politik dan terlibat dalam hal-hal politik, dan lebih memilih untuk menyerahkannya kepada orang lelaki," menurut laporan itu lagi.

Begitu juga di Kampung Lebor dan Nanga Bekatan di Sarawak, dengan lebih 50 peratus responden menolak sebarang berita berkaitan politik. Mereka berkata kebanyakan maklumat adalah mengelirukan.

Golongan muda juga berkata mereka tidak berminat dengan politik dan akan mengundi sesiapa saja yang disokong ibu bapa mereka, menurut laporan itu lagi.

[Baca berita asal]