Skip to main
Logo Malaysiakini

PR1MA tak jawab berapa kos majlis buka puasa - Akmal Nasir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir meluahkan rasa kecewa dengan jawapan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkenaan anjuran majlis berbuka puasa agensi itu baru-baru ini.

Katanya, kenyataan PR1MA semalam, gagal menjawab soalannya berkenaan jumlah kos penganjuran Majlis Berbuka Puasa PR1MA yang dirasmikan pengerusinya, Shahidan Kassim.

“Majlis yang diadakan secara besar-besaran itu dikatakan turut melibatkan jemputan orang-orang politik termasuk Ketua Dewan Ulama PAS dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Keengganan menjawab hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai akauntabiliti dan ketelusan perbelanjaan PR1MA dalam keadaan pampasan ganti rugi kepada pembeli (LAD) tidak mahu dibayar serta masih terdapat beribu-ribu unit rumah yang terbengkalai atau lewat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PR1MA semalam mengeluarkan kenyataan maklum balas terhadap persoalan dibangkitkan Akmal kelmarin mengenai kos perbelanjaan majlis pada 15 April itu. Akmal turut membangkitkan tentang projek PR1MA yang dakwanya berdepan banyak masalah.

PR1MA sekadar menegaskan ia komited untuk menyiapkan projek pembangunan kediaman di bawah seliaannya dalam tempoh masa yang dijadualkan.

Akmal juga menyoal PR1MA tentang satu lagi majlis berbuka puasa berbentuk jamuan dan sumbangan pada 17 April, yang dakwanya, turut melibatkan kepemimpinan Umno Selangor termasuk ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda serta ketua puteri seluruh negeri Selangor.

“Persoalannya, berapakah kos penganjuran majlis keraian bersama Umno Selangor termasuk belanja jamuan dan sumbangan?

“Benarkah pegawai kanan PR1MA turut serta dalam program tersebut dengan makan di meja utama serta dilihat berada di pentas ketika penyerahan sumbangan?

“Sekiranya benar, mengapakah pegawai kanan PR1MA hadir untuk program Umno dan adakah terdapat sumbangan atau tajaan yang disalurkan?” soal ketua pemuda PKR itu lagi.

Kata Akmal, majlis itu menimbulkan banyak keraguan, sedangkan PR1MA sepatutnya memberi tumpuan penuh terhadap “agenda perumahan mampu milik bagi M40 secara konsisten,” seperti yang disebut PR1MA dalam kenyataannya semalam.

Malah, Akmal menggesa PR1MA “beramal jariah” dengan membuat bayaran penuh pampasan LAD bagi mengurangkan beban ditanggung pembeli rumah, serta memastikan pembinaan projek rumah mengikut jadual dan tidak melambatkan tarikh siap sewenang-wenangnya.

PR1MA dilancarkan pada tahun 2011, dengan sasaran membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan pembelian adalah secara undian.

Matlamat penubuhannya adalah untuk membina 500,000 unit menjelang pada tahun 2020.

Namun, banyak projek PR1MA dibelenggu oleh kelewatan dan pembatalan.

Pada bulan Disember tahun lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM172 juta untuk projek PR1MA yang dibatalkan.