Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno, Amanah turut bantah guna dana Kwan untuk beli vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan kenyataan Faiz Fadzil.

Umno dan Amanah membangkitkan kebimbangan mereka berkaitan penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk membeli vaksin Covid-19.

Selepas DAP, perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan anggota jawatankuasa Amanah Faiz Fadzil, hari ini.

Mohamad berkata kenapa tiba-tiba kerajaan memerlukan dana Kwan, walaupun tambahan peruntukan Program Imunisasi Covid-19 Nasional ditambah ke RM5 bilion telah pun dibuat sebulan lalu.

Dia menegaskan, Kwan yang ditubuhkan 30 tahun lalu adalah untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi negara semakin susut.

“Persoalannya, wajarkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?” soalnya.

Pelantar minyak, gambar hiasan

Pada 21 April lepas kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana Kwan untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan boleh tawarkan vaksin percuma kepada mereka yang tidak mampu sahaja.

“Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.
“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Manipulasi, kata Faiz

Sementara itu Faiz yang juga Adun Permatang pula menyifatkan tindakan kerajaan sebagai “manipulasi proklamasi darurat dan penggantungan parlimen”.

Katanya, Kwan penting sebagai sokongan fiskal masa hadapan apabila sumber asli seperti petroleum pupus.

"Jika kerajaan boleh membayar gaji begitu banyak kabinet besar kerajaan PN yang dilihat gagal, sudah semestinya kerajaan boleh mencari dana tambahan tanpa menjarah simpanan masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

Faiz Fadzil

Faiz berkata setakat 2018, nilai Kwan hanya RM17.4 bilion dan Petronas menjadi penyumbang tunggal.

Amaun itu, katanya, jauh lebih kecil berbanding sumbangan Petronas RM1.2 trilion setakat ini ke dalam kantung kerajaan Malaysia.

Malah, ia jauh berbeza jika dibandingkan Kwan “oil trust fund” Norway yang yang antara terbesar di dunia dengan anggaran US$1.2 trilion setakat 2020.

“Ada anggaran kerajaan yang mengatakan rizab petroleum akan pupus seawal 2029, jika telaga baru tidak ditemui.

"Kerajaan sepatutnya meningkatkan nilai simpanan Kwan dan bukannya membelanjakan simpanan masa hadapan tersebut. Penggantungan Parlimen telah memudahkan kerajaan PN menukar undang-undang sewenang-wenangnya tanpa proses semak imbang oleh ahli Parlimen yang dipilih rakyat," katanya.