PBKD luluskan pendaftaran bersyarat vaksin Vero Cell
Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-356 hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat produk vaksin Covid-19 CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated untuk kegunaan semasa bencana.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu dihasilkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menerusi pengilangan secara fill and finish (pengilangan produk pukal kepada produk siap), yang pertama kali dilaksanakan di negara ini.
Beliau berkata produk itu adalah sumber kedua kepada produk CoronaVac yang telah berdaftar dari pengilang Sinovac Life Sciences Co Ltd China.
“Pengilangan fill and finish produk CoronaVac oleh PLS adalah pencapaian terbaru Malaysia yang selama ini bergantung kepada produk vaksin dan produk plasma yang diimport.
"Diharapkan perkembangan ini dapat memacu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan dalam penghasilan produk-produk tersebut.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu PLS mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Noor Hisham berkata KKM sentiasa mempertingkat tahap kesihatan awam semasa memerangi Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Katanya kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai