Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 72 jam, kapal selam TNI masih hilang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Selepas 72 jam operasi mencari dan menyelamat, kapal selam KRI Nanggala-402 milik tentera Indonesia (TNI) masih belum ditemukan.

Ketua Badan Penerangan TNI Angkatan Laut, Julius Widjono dipetik CNN Indonesia berkata pihaknya masih optimis menemukan KRI Nanggala.

"Kita harus optimis. Kita memohon doa kepada segenap bangsa Indonesia semoga 53 orang bisa selamat," katanya awal pagi ini.

KRI Nanggala-402, buatan Jerman tahun 1977 yang dioperasikan TNI sejak 1981 itu sedang melakukan latihan dengan membawa 53 anak kapal sebelum hilang.

Kali terakhir kapal selam itu melakukan kontak sebelum terputus hubungan ketika hendak menyelam sekitar jam 03.00 pagi (waktu Indonesia Barat) pada Rabu lalu.

Seluruh aset telah dikerahkan untuk mencari kapal selam KRI Nanggala-402.

Menurut TNI, status kapal itu masih lagi "hilang kontak" dan tidak ada bukti menunjukkan ia telah karam.

Pencarian KRI Nanggala-402 ditumpukan di lokasi perairan laut sebelah utara Bali.

Dikatakan lokasi tersebut ditemukan tumpahan minyak dan daya magnet yang besar yang diduga bersumber daripada kapal selam itu.

Beberapa negara telah mengirimkan bantuan dalam operasi mencari kapal selam itu, antaranya Malaysia, Singapura, India, Australia dan Amerika Serikat.

Khamis lalu, Malaysia telah menggerakkan kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata TLDM juga turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anak kapal dan supaya kapal selam itu segera ditemui.

Sebelum ini, dilaporkan pasukan mencari dan menyelamat sedang berada pada saat genting lantaran dikatakan oksigen di dalam kapal selam itu hanya dapat bertahan setakat jam 3 pagi, hari Sabtu ini.

Ketua Staf Angkatan Laut Laksamana TNI Yudo Margono pada sidang akhbar Khamis (22/4) lalu dilaporkan berkata cadangan oksigen yang terdapat di kapal selam KRI Nanggala-402 hanya mampu bertahan sampai 72 jam dari kondisi black out.

Dengan berlalunya tempoh akhir oksigen bertahan awal pagi Sabtu ini, terdapat spekulasi yang tidak dapat disahkan kesahihannya kemungkinan tragedi menimpa kapal itu.

Antara kemalangan kapal selam terburuk berlaku pada tahun 2000, apabila kapal Kursk kebanggaan Armada Utara tentera Rusia karam.

Kapal selam itu sedang bergerak di Laut Barents ketika karam dengan kehilangan semua 118 kapal. Siasatan mendapati sebuah peluru torpedo meletup dan meledakkan semua yang lain.

Sebahagian besar anak kapal meninggal serta-merta tetapi ada yang bertahan selama beberapa hari sebelum lemas.

Pada tahun 2003, 70 pegawai dan kru tentera laut China terbunuh, akibat lemas, dalam kemalangan kapal selam kelas Ming semasa latihan.

Lima tahun kemudian, 20 orang terbunuh oleh gas beracun ketika sistem pemadam api diaktifkan secara tidak sengaja dalam kapal selam Rusia yang sedang diuji di Laut Jepun.

Pada tahun 2018 pula, pihak berkuasa menemui bangkai kapal selam Argentina yang hilang setahun sebelumnya bersama 44 anak kapal.