Skip to main
Logo Malaysiakini

Periksa haid: Peguam tawar diri bantu ibu bapa saman sekolah, guru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sepasukan peguam menawarkan bantuan guaman kepada ibu bapa atau pelajar yang ingin menyaman pihak sekolah yang menjalankan pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan untuk memastikan mereka tidak mengelak solat berjemaaah.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata dia secara peribadi menawarkan diri untuk mengambil kes-kes berkenaan secara percuma, bersama dengan sekumpulan peguam lain.

"Sekiranya ibu bapa tampil, kami mempunyai peguam yang bersedia mewakili mereka secara percuma untuk menyaman sekolah dan guru yang terlibat.

"Itu termasuk saya dan rakan-rakan saya," katanya kepada Malaysiakini.

"Sekiranya ini adalah kes yang berlaku tahun ini atau tahun lalu, selain daripada tindakan jenayah, ibu bapa boleh membuat tuntutan saman terhadap sekolah atau guru," kata Jahaberdeen.

Sebagai alternatif, dia mendesak ibu bapa atau pelajar membuat laporan polis terhadap mereka yang melakukan "pemeriksaan haid" secara mengejut di mana pelajar perempuan disuruh membuktikan secara fizikal bahawa mereka didatangi haid dengan cara yang melanggar privasi.

Pelajar perempuan di beberapa buah sekolah yang bercakap dengan Malaysiakini baru-baru ini berkata perbuatan itu termasuk menunjukkan tuala wanita yang mempunyai darah, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, kertas tisu atau jari mereka, atau guru, warden atau pengawas sekolah meraba di pangkal paha untuk memastikan mereka memakai tuala wanita.

"Jelas terdapat pelbagai kesalahan di situ... cabul, serangan, melanggar kesopanan. Ini semua kesalahan jenayah," kata Jahaberdeen.

Sekumpulan individu yang menghubungi Malaysiakini untuk menceritakan kisah mereka adalah dari sekolah berasrama kerajaan dan sekolah harian, serta sekolah agama persendirian.

Mereka terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar yang telah meninggalkan bangku sekolah sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata tidak ada had waktu untuk membuat laporan terhadap kesalahan jenayah dan pelakunya masih boleh disiasat dan didakwa.

"Oleh itu, jika ibu bapa mempunyai bukti, maka adalah baik bagi mereka untuk tampil ke hadapan sehingga mereka boleh mengelakkan perkara ini terjadi kepada anak-anak lain.

"Kita tidak boleh membiarkan sumbaleweng yang sakit (sick perversion) seperti itu menjadi norma dalam masyarakat kita. Terutama atas nama Islam.

"Sudah terlalu banyak salah guna atas nama Islam, jadi kita harus menghentikan semua perkara ini," tegasnya.

Semalam pakar psikologi berkata pemeriksaan mengejut seumpama itu adalah "satu bentuk buli' yang boleh memberi kesan negatif kepada  pelajar perempuan selama bertahun-tahun lamanya.

Pelbagai pihak mengutuk amalan itu di sekolah termasuk bekas menteri Rafidah Aziz, Azalina Othman Said dan Maszlee Malik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Rina Harun juga berjanji bahawa siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya semalam berkata dia masih belum menerima maklumat mengenai perkara itu.

Malaysiakini juga berulang kali berusaha menghubungi Menteri Pendidikan Radzi Jidin untuk memberi komen.