Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Warisan nafi langgar kuarantin, tipu mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib presiden Warisan, Peter Anthony menafikan dakwaan bahawa dia melanggar perintah kuarantin di rumah untuk menghadiri satu program parti itu semalam.

Di laman Facebooknya petang ini, Peter berkata dia tidak melanggar undang-undang kerana sudah menghabiskan kuarantin sebelum tiba ke acara itu.

Dia juga memaparkan surat bertairkh 20 April yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan dari pusat kuarantin Keningau di Sabah untuk membuktikan dakwaannya.

Peter berkata, keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan sebanyak dua kali juga menunjukkan keputusan negatif.

Peguam Peter, D Senthinathan sebelum ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya perlu menjalani kuarantin selama 10 hari - dari 16 hingga 26 April - setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes Covid-19.

Justeru peguam memohon perbicaraan terhadap Peter ditangguhkan. Mahkamah kemudian memberikan kebenaran dan perbicaraan dijadualkan pada 3 Mei.

Semalam (23 April), Peter menghadiri program Warisan di Limbahau, Papar di mana dia dirakam memberi ucapan.

Dalam kenyataannya hari ini, wakil rakyat Melalap itu juga menafikan tuduhan bahawa Senthinathan telah berbohong mengenai perintah kuarantin berkenaan.

"Saya sangat menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu dan tuduhan bahawa perintah kuarantin yang dinyatakan oleh peguam saya kepada mahkamah adalah palsu [...]

"Ini adalah bukti bahawa penyebaran maklumat palsu di media sosial berbahaya dan bertujuan untuk mencemarkan reputasi saya, " katanya.

Sebelum kerajaan negeri yang dipimpin Warisan tumbang, Peter adalah menteri pembangunan infrastruktur Sabah.

Pada bulan Julai 2020, dia atas kapasiti selaku pengarah urusan Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat pada tahun 2014 dengan tujuan untuk menipu setiausaha sulit perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Dia didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Dia juga didakwa di bawah Seksyen 471 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Secara berasingan, Peter menghadapi beberapa tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan bersubahat dengan tuduhan pecah amanah.