Bersih kutuk polis didakwa pukul tahanan aktivis Sabah
NGO reformasi pilihan raya, Bersih mengutuk dakwaan polis memukul seorang aktivis akar umbi Sabah, salah seorang daripada tujuh yang ditahan polis di Tawau semalam.
"Bersih mengecam polis yang didakwa menyerang salah seorang aktivis iaitu Mukmin Nantang, yang mengatakan dia telah dipukul di bahu dan dada.
"Tindakan memukul tahanan adalah salah guna kuasa polis dan pelanggaran hak asasi manusia.
"Lebih-lebih lagi, aktivis yang ditangkap tidak melawan dan menganiayai polis," kata NGO itu dalam satu kenyataan.
Bersih menuntut pembebasan segera tujuh aktivis akar umbi Sabah itu.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas bagi mendapatkan maklum balas terhadap tuduhan berkenaan.
Dia mengesahkan semalam bahawa lelaki tersebut telah ditangkap setelah mereka ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan mengadakan perhimpunan.
Malaysiakini difahamkan tujuh lelaki itu mungkin menghadapi tuduhan bawah tiga tindakan undang-udang, iaitu, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 188 Kanun Keseksaan mengenai menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 25 Ordinan Darurat yang memperuntukkan kompaun denda sebanyak RM10,000.
Jumaat lalu, kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah untuk 14 hari lagi, dari 25 April 25 ke 8 Mei.
'Tak hormat Perkara 10 Perlembagaan'
Tujuh aktivis yang ditahan itu mengadakan bantahan pada jam tiga petang semalam di sempadan penguatkuasaan PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawu bagi menggesa kerajaan tidak melanjutkan perintah itu.
Menurut aktivis itu, kebanyakan penduduk di kampung tersebut bergantung kepada gaji harian dan dengan penguatkuasaan PKPD mereka tidak boleh mencari makan.
Penduduk kampung juga didakwa tidak diberi bantuan sewajarnya sepanjang penguatkuasaan PKPD di kawasan itu.
Bersih berkata pihaknya bimbang dengan penahanan aktivis di Sabah ini serta artis satira politik dan pereka grafik Fahmi Reza pada Jumaat.
Fahmi telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis.
"Penangkapan aktivis selama dua hari berturut-turut menunjukkan kerajaan tidak menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara oleh rakyat.
"(Aktivis) akar umbi hanya bersuara untuk menyatakan kesusahan dan cabaran hidup mereka sehari-hari.
"Protes di jalanan menunjukkan bahawa keadaan semakin terdesak dan kerajaan perlu mendengar suara mereka," katanya.
Bersih berkata penangkapan orang yang membantah dan mengkritik dasar kerajaan adalah keterlaluan.
Ini, jelas NGO itu tidak menggambarkan kerajaan yang mengambil berat suara rakyat sebagai tulang belakang demokrasi negara.
"Lebih-lebih lagi, dengan penggantungan parlimen, ruang untuk bersuara di negara ini semakin disempitkan pemerintah dan ini memang membahayakan demokrasi negara kita.
"Bersih sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kebebasan bersuara, berekspesi dan kebebasan berhimpun sebagai tulang belakang demokrasi negara kita," katanya.
Bersih turut mendesak polis untuk menghentikan siasatan terhadap aktivis berkenaan yang sekadar cuma meluahkan isi hati dan perasaan mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai