Aktivis Borneo Komrad, penunjuk perasaan direman dua hari
Kesemua tujuh individu yang ditahan polis kerana terlibat dalam protes pelanjutan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah direman selama dua hari mulai pagi tadi.
Menurut peguam yang mewakili mereka, Raymond Guok, pada awalnya polis memohon agar mereka dibenarkan menahan reman tujuh individu terbabit selama empat hari untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun katanya majistret Nur Asyraf Zolhani hanya membenarkan mereka direman selama dua hari.
"Setelah mempertimbangkan pengajuan daripada kedua-dua pihak, reman diberikan hingga 26 April," kata Guok dalam satu kenyataan.
Ketika berhujah di depan Nur Asyraf, Guok berkata, kesemua individu terbabit tidak berisiko untuk meninggalkan Tawau, serta berdepan kemungkinan jangkitan Covid-19 sekiranya berada lama dalam tahanan.
Mereka juga, kata Guok, sukar untuk berpuasa Ramadan jika direman lebih lama.
Dia turut mengesahkan kesemua tujuh individu terbabit disiasat mengikut akta iaitu Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 188 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 25 Ordinan Darurat yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM10,000.
Daripada tujuh individu itu dua dikenal pasti sebagai aktivis Borneo Komrad iaitu Mukmin Nantang dan Mohd Azwan Irwan. Lima lagi dipercayai penyokong aktivis berkenaan serta penduduk kampung.
Hari ini kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan polis yang didakwa memukul Mukmin pada bahu dan dadanya.
Jumaat lalu kerajaan mengumumkan lanjutan PKPD di Kampung Muhibbah Raya selama 14 hari lagi sehingga 8 Mei.
Menurut aktivis itu, mereka melakukan protes kira-kira jam 3 petang semalam kerana kebanyakan penduduk di kampung tersebut bergantung kepada gaji harian. Justeru dengan penguatkuasaan PKPD yang lebih lama menyebabkan mereka tidak boleh mencari makan.
Penduduk kampung juga didakwa tidak diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai