Lim: DAP berjuang untuk semua, tolak pemimpin cauvinis
Kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan berjuang untuk menolak pemimpin yang bersifat chauvinis, kata setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.
Ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP di Kuala Lumpur hari ini, Lim mengulangi pendirian DAP adalah untuk rakyat Malaysia dan tidak akan menjadi parti chauvinis.
"Izinkan saya memberi anda jaminan kepemimpinan CEC bersedia berjuang untuk menolak pemimpin yang ingin menyimpang daripada kerangka kerja kemajmukan kaum dan agama.
"[..] DAP tidak akan bersifat rasis dan ekstremis agama seperti PAS atau tunduk kepada PAS seperti MCA, MIC, dan GPS," kata ahli parlimen Bagan itu.
Sifat cauvinis bermaksud menunjukkan pendirian atau semangat yang melampau dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum atau golongan.
Sejak kebelakangan ini, kem-kem dalam DAP berbeza pendapat secara terbuka, dengan beberapa kumpulan dituduh sebagai cauvinis Cina.
Ahli jawatankuasa pusat DAP Ronnie Liu (gambar, atas) dilaporkan berkata parti itu tidak perlu "mencairkan kecinaannya" hanya untuk meraih sokongan Melayu.
Pada sidang media kemudian, ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Liu itu, Lim berkata dia telah menjelaskan pendirian DAP dalam ucapannya.
Pun begitu, Lim enggan merujuk kepada mana-mana individu tertentu.
Kenyataan Liu sebelum ini telah dikritik pemimpin DAP Tony Pua dan Hannah Yeoh.
Pua mengatakan "DAP tidak memerlukan cauvinis dalam parti."
Pua berkata DAP telah dilabel sebagai "parti chauvinis" selama beberapa dekad kerana kekerapan isu-isu yang berkaitan dengan orang Cina dibangkitkan parti itu.
Ini ketika DAP memfokuskan usahanya untuk memastikan hak-hak minoriti tidak dipijak semasa pemerintahan BN.
Bagaimanapun, sejak tahun 2005, bawah kepimpinan Lim DAP telah melakukan upaya bersama untuk melepaskan diri daripada label dan imej chauvinistik.
Dalam perutusannya kepada perwakilan hari ini, Lim mengingatkan tiada gunanya memenangi pemilihan parti jika nanti kalah dalam pilihan raya umum.
"Lebih penting untuk mengalahkan pengkhianat mandat rakyat dan mengembalikan pemerintahan rakyat yang berfungsi untuk rakyat serta mendengar suara rakyat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai