Umno hantar surat pada ROS, MKN untuk teruskan pemilihan parti
Umno hari ini memberi bayangan akan meneruskan pemilihan parti mereka tahun ini.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, parti akan menulis surat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan nasihat berkenan pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
Kata Ahmad, ia bagi memastikan kelancaran proses pemilihan selaras peraturan dan undang-undang selain prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
"Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah ROS dan Ketua Pengarah MKN bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk Umno menjalankan pemilihan parti pada tahun ini selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Umno dan SOP Covid-19.
"Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan Umno cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara melibatkan ahli seramai hampir 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar, mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat," kata Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika sidang media sejurus selepas mesyuarat Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, pada masa sama timbul tanda tanya mengenai tarikh sebenar pemilihan itu direncana dijalankan apabila dua pemimpin parti itu menyatakan hal berlainan mengenainya.
“(MT) ada bincang sikit (pemilihan parti) dan dah ada tarikh. Nanti setiausaha agung akan keluarkan kenyataan,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin ringkas.
Namun, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul yang ditemui media menyatakan parti belum ada tarikh sebenar untuk pemilihan itu diadakan.
“Ada bincang-bincang (tarikh pemilihan) juga, tapi tak ada tarikh.
“Banyak perkara kena ambil tahu tentang kedudukan Covid-19, SOP dan sebagainya.
“Banyak perkara kena ambil kira sebab kita nak adakan perhimpunan peringkat akar umbi, negeri, peringkat bahagian. Jadi tidak semudah itu bagi mengadakan mesyuarat pemilihan nak dirujuk kepada MKN supaya apa yang kita nak buat itu licin dan lancar.
“Lagipun kita tak ada desakan untuk kita adakan pemilihan,” katanya.
Tak ada bincang isu pecat Annuar
Sementara itu, mengulas usul mengejut yang tular hari ini bahawa Umno dijangka akan memecat Annuar Musa, Bung berkata perkara itu tidak dibincangkan.
“Tak ada (bincang isu pecat memecat), kita bukan parti tukang pecat,” katanya ringkas.
Manakala mengulas ketidakhadiran Timbalan Presiden Umno hari ini Bung berkata Mohammad Hassan dimaklum berada dalam keadaan tidak sihat.
Mengulas isu berasingan, Ahmad turut memaklumkan bahawa Umno akan membuat desakan melalui menteri-menteri dari parti itu untuk kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu berhubung buku yang dikarang bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai