Bahagian, Puteri Umno Arau tolak Azlan Man sebagai pengerusi
Umno bahagian Arau dan sayap Puteri bahagian itu menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Umno Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim, dan mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengembalikan jawatan itu kepada Shahidan.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau Salim Dahaman berkata akar umbi akan terus kekal bersama Shahidan, yang merupakan Ketua Umno Bahagian Arau, demi mengembalikan semula kekuatan Umno Perlis.
“Sahidan layak untuk terus memimpin Umno Perlis berdasarkan jasa beliau membantu Umno memenangi dua daripada (tiga) kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihanraya Umum ke-14 sehingga terbentuknya kerajaan Barisan Nasional di Perlis,” katanya kepada pemberita di Kangar, Perlis hari ini.
Semalam Ahmad Zahid menerusi kenyataan memaklumkan Azlan yang merupakan Menteri Besar Perlis dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu mengantikan Shahidan.
Bagaimanapun Pemuda Umno Arau pula menyambut baik pelantikan Azlan menerajui Umno negeri, dan berharap ia dapat membuka lembaran baharu dalam politik negeri Perlis.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau Syed Atif Syed Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata menerusi kenyataan hari ini berkata pelantikan itu diharap memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan BN Perlis yang sekian lama berada dalam dilema disebabkan wujudnya ‘dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal’.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai