Skip to main
Logo Malaysiakini

Penentang PJD Link buat gabungan baru, mahu jumpa MB, Datuk Bandar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penduduk yang menentang cadangan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang dikatakan mereka akan menggantikan lebuh raya Kinrara – Damansara Expressway (Kidex), meminta kerajaan negeri dan Datuk Bandar Petaling Jaya mendengar bantahan mereka.

Mendakwa kerja-kerja bagi projek itu akan bermula pada akhir tahun ini, jurucakap "Penduduk Prihatin Seksyen 14, Jawatankuasa Bertindak PJ Membantah PJD Link", juga mengumumkan pelancaran gabungan baru - Gabungan Menentang Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link pada pertemuan menerusi Zoom petang semalam.

Sheikh Moqhtar berkata, penduduk lebuh raya berkenaan bimbang setelah pemaju PJD Link Sdn Bhd mengumumkan pada Januari bahawa kerja-kerja di lebuh raya berkembar itu akan dimulakan pada penghujung tahun ini.

Dia juga mendakwa menteri besar Selangor Amirudin Shari dan datuk bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar enggan bertemu dengan kumpulannya.

"Hak pendengaran mesti diberikan kepada kami. Pemaju diberi hak ini untuk mereka mengemukakan fakta mereka, jadi sekarang, wajar jika kita diberi keadilan untuk berinteraksi dengan negeri, dan juga MB, untuk mendengar cerita kami.

"Kami juga telah berusaha sebaik mungkin untuk bertemu dengan datuk bandar tetapi kami tidak berjaya."

"Mereka tidak boleh begitu sahaja menghentikan kami dengan mengatakan 'Ini adalah untuk pembangunan'. Matlamat pembangunan mesti lestari dan sesuai dengan masyarakat," katanya.

Dia berkata demikian semasa pertemuan di Zoom yang dihoskan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Maria berkata, pemaju projek itu perlu mencari cara lain untuk mengatasi masalah lalu lintas dan mempertimbangkan perasaan orang ramai.

"Saya tidak percaya ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, dan itu boleh menyebabkan kos sosial yang besar.

“Di Seksyen 14, kebanyakan penduduk adalah warga emas yang sudah bersara.

"Saya selalu merasakan bahawa kita boleh memperbaiki pengangkutan awam untuk mengurangkan kereta. Kita boleh adakan pengangkutan awam yang lebih baik daripada membina lebuh raya," kata Maria.

Pengarah eksekutif PJD Link Sdn Bhd, Amrish Hari Narayanan mengumumkan pada Januari bahawa sekiranya dibenarkan, lebuh raya tersebut dijangka akan mewujudkan 12,000 pekerjaan dan memberikan anggaran hasil ekonomi sebanyak RM6.5 bilion.

Namun, setelah bersetuju untuk diwawancara dengan Malaysiakini pada masa itu, Amrish enggan meneruskannya setelah menerima soalan yang memerlukannya memberikan penjelasan yang lebih terperinci.

[Baca berita penuh]