Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarjan didakwa makan rasuah untuk tutup kes dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang anggota polis berpangkat sarjan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2018.

Tertuduh Mohd Saiful Saifuddin, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Saiful didakwa secara rasuah meminta suapan RM13,000 bagi dirinya daripada Abdul Rahman Mumtaz Ali yang ketika itu tertuduh bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan lebih kurang pukul 7 malam di IPD Kota Setar pada 19 Feb 2018 sebagai dorongan untuk menutup kes narkotik.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Pertuduhan kedua pula, dia dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan RM9,000 daripada lelaki sama sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan kes narkotik itu pada 4.30 petang di dalam kereta Perodua Myvi di kawasan parkir teksi Stesen Bas Shahab Perdana di sini, 21 Feb 2018.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan ketiga pula, sarjan itu didakwa melakukan perbuatan sama dengan memperoleh suapan RM4,000 daripada lelaki sama sebagai dorongan yang sama pada 6.45 petang di dalam kereta Perodua Myvi di sebelah Restoran KFC Shahab Perdana di sini pada 22 Feb 2018.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Mohd Saiful diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.

-Bernama