Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan Azmin batal saman pengundi Gombak didengar 30 Jun

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Permohonan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali untuk membatalkan saman 10 pengundi di kawasan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun.

Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar secara dalam talian permohonan pengundi berkenaan bagi membatalkan sebahagian kenyataan pembelaan Azmin terhadap saman yang berkaitan dengan dakwaan mengkhianati janji pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peguam yang mewakili pengundi berkenaan, N Yohendra mengesahkan bahawa tarikh perbicaraan ditetapkan semasa pengurusan kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.

"Lampiran perbicaraan 9 dan 10 (dua permohonan pembatalan berasingan) dan lampiran pengurusan kes 1 (saman utama) ditetapkan pada 30 Jun 2021, jam 9.30 pagi di hadapan hakim Yang Arif (Mahkamah Tinggi) Akhtar Tahir, untuk dilakukan secara dalam talian melalui zoom,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.

Azmin hari ini diwakili oleh peguam Nurul Najwa Zainuddin.

Seramai 10 pengundi itu berusaha membatalkan pernyataan pembelaan Azmin, yang antara lain menyebut tuduhan seksual terhadap presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai alasan untuk keluar dari parti itu.

Azmin, yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, kini menjadi anggota majlis tertinggi Bersatu dan merupakan menteri perdagangan, antarabangsa dan industri.

Pada Februari tahun lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memutuskan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan. Dia disertai oleh ahli parlimen PKR yang dipimpin oleh Azmin dalam apa yang digelar sebagai 'Langkah Sheraton'.

Ini kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional sekarang. Muhyiddin kini menjadi perdana menteri

Penghujung tahun lalu, seramai 10 pengundi Gombak mengemukakan saman terhadap Azmin atas tuduhan melanggar janji yang dibuatnya pada PRU14.

Pada 12 Mac lalu, Azmin mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan.

Menurut salinan saman tersebut, 10 plaintif itu menuntut sembilan deklarasi mahkamah termasuk bahawa wakil rakyat mereka mempunyai kewajipan fidusiari dan didakwa telah melanggar tugas tersebut.

Kewajipan fidusiari merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).

Plaintif mendakwa Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan BN dalam "Langkah Sheraton" dan menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, walaupun dia telah berkempen dan memenangi kerusi Parlimen Gombak atas tiket PKR / PH.