Skip to main
Logo Malaysiakini

Pekerja asing bunuh diri lepas didakwa tak dapat gaji 5 bulan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pekerja binaan warga Pakistan ditemui mati di tapak pembinaan di Jalan Ampang pada 17 April.

Dipercayai bahawa mangsa berusia 30 tahun itu bunuh diri setelah kecewa kerana syarikat tempat dia bekerja didakwa tidak membayar gaji selama lima bulan.

Sebelum itu, mangsa telah menyiarkan video dirinya di platform media sosial Tik Tok, dengan mengatakan bahawa dia "tidak boleh tahan" selepas majikannya tidak membayar gajinya.

"Saya mahu buat video. Saya punya bos, dia sudah lima bulan tak bagi gaji saya. Saya tak boleh tahan. Saya punya mati punya pasal... punya bos, tolong kawan, cari dia," katanya dalam klip video itu.

Mangsa juga ada menyebut mengenai video lain yang dibuatnya yang mengandungi perincian tentang majikannya.

Klip video itu beredar di media sosial.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah mengatakan bahawa berdasarkan siasatan, syarikat itu tidak membayar gaji kepada mangsa dari Disember 2020 hingga April 2021 kerana masalah kewangan.

Mangsa dikenali sebagai Shahzad Ahmed.

"Siasatan mendapati majikan mempunyai masalah kewangan sebab PKP. Majikan nak bayar sikit tapi dia tak nak sebab dia nak gaji penuh.

"Kawan kerja dia kata dia ada masalah keluarga dan tertekan sebab keluarga mintak dia hantar duit," katanya.

Mangsa telah bekerja di Malaysia sejak 2019 dan tidak mempunyai saudara di sini, kata Ashari.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif Landseal Sdn Bhd Radha Krishnan mengatakan syarikatnya akan menanggung kos untuk menghantar jenazah ke Pakistan dan memberikan pembayaran muhibah kepada keluarganya.

Ketika diminta mengulas mengenai tuduhan bahawa kematian itu disebabkan oleh kekecewaan si mati terhadap gaji yang tidak dibayar, Krishnan mengatakan dia tidak dapat memberi komen kerana perkara itu sedang dalam siasatan polis.

Sekiranya anda merasa tertekan atau bunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan itu, hubungi talian hotline berikut:

Pusat Kaunseling Agape Malaysia
Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders
Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia
Talian Hotline: 03-42657995

*Laporan tambahan oleh Fion Yap