Skip to main
Logo Malaysiakini

Perihal Kumpulan Wang Amanah Negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PANDUANKINI | Kali ini, Panduankini akan menjelaskan perihal Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan), yang akan digunakan untuk pemerolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Apakah itu Kwan?

Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 diluluskan di Dewan Rakyat pada 1987. Tahun berikutnya Petronas - berikutan akta itu - menyumbangkan RM100 juga sebagai dana permulaannya.

Bagaimana ia didanai?

Menurut undang-undang, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) perlu menyumbang kepada dana itu. Begitu juga negeri yang mendapat royalti, dalam apa jua bentuk, daripada petroleum atau sumber tidak kekal lain.

Hasil daripada pelaburan dana juga perlu dilaburkan semula. Undang-undang juga membenarkan pemberian daripada mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sumber tidak kekal.

Bagaimanapun, Petronas kekal sebagai penyumbang tunggal. Secara keseluruhan, setakat 31 Disember 2020, ia telah menyumbang RM10.4 bilion.

Berapa jumlah dana Kwan?

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, setakat 31 Disember 2020, tabung ini mempunyai jumlah aset bernilai RM19.5 bilion.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara terhadap penyata kewangan kerajaan 2019, setakat 31 Disember tahun itu, Kwan memiliki simpanan tunai sebanyak RM1.57 bilion.

Apakah instrumen pelaburan utama tabung ini?

Menurut Laporan Ketua Audit NEgara 2019, sebanyak 82.65 peratus pelaburan Kwan adalah dalam sekuriti hutang. Suku daripada pelaburannya adalah dalams sekuriti kerajaan (seperti bon kerajaan), manakala 23.9 peratus lagi dalam sekuriti hutang swasta.

Portfolio ekuiti Kwan merangkumi 17.35 peratus daripada keseluruhan pelaburannya.

Apa mandat Kwan?

Bermula 2006, mandat Kwan adalah untuk melabur dalam sekuriti hutang kerajaan, agensi kerajaan dan yang dikeluarkan badan korporat. Pada 2012, ia turut terlibat dalam pelaburan ekuiti domestik.

Sejak 2018, Kwan juga dibenarkan untuk melabur dalam ekuiti global dan amanah pelaburan hartanah (REIT).

Ia juga membuat pelaburan sebanyak RM440 juta dalam Putrajaya Holdings Bhd, ketika ia ditubuhkan pada 1995.

Bagaimana para pembuat dasar mahu Kwan digunakan?

Pada 1985, timbalan menteri kewangan ketika itu Mohamed Farid Ariffin ketika membentangkan rang undang-undang Kwan, memberitahu Parlimen yang dana ini bertujuan membangunkan ekonomi menerusi perolehan daripada sumber tidak kekal seperti petroleum dan timah.

"Bukankah dana ini langkah yang cermat untuk kepentingan bersama kita dan anak-anak kita?

"Seperti kata pepatah Melayu, 'sediakan payung sebelum hujan'," katanya ketika itu.

Siapa tentukan bagaimana dana diguna?

Menteri Kewangan. Dia juga memutuskan lima ahli panel yang membuat keputusan berkaitan pelaburan. Bagaimanapun, Bank Negara bertanggungjawab dalam hal ehwal harian dana.

Bagaimana dana digunakan setakat ini?

Menurut Seksyen 6(a) dan (b) Akta Kwan 1988, wang tabung ini boleh digunakan untuk tujuan pembangunan dan pemberian hutang kepada kerajaan.

Dananya hanya pernah digunakan sekali - iaitu sebanyak RM42 juta bagi Projek Malaysia Wetland Sanctuary di Ulu Langat (tahun tak dipastikan).

Minggu lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 yang memasukkan bahagian baru iaitu Seksyen 6(c). Ia bagi membenarkan dana Kwan digunakan untuk perolehan vaksin Covid-19.

Bukankah belanja untuk mendapatkan vaksin termasuk dalam Belanjawan 2021?

Zafrul berkata walaupun kerajaan berjanji untuk memperuntukkan RM3 bilion bagi program vaksin, ia tidak termasuk dalam Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion.

Menurut penerangannya di Putrajaya pada 26 April, belanja vaksin meningkat daripada RM2.3 bilion kepada RM3.5 bilion kerana kerajaan bukan hanya mendapatkan vaksin untuk 80 peratus penduduk, tetapi juga untuk 40 peratus stok untuk disimpan.

Kos program imunisasi telah meningkat daripada RM0.7 bilion kepada RM1.5 bilion.

Lebihan kos ini digariskan dalam pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), yang bertujuan mencapai imuniti kelompok pada Disember tahun ini. Ia dua bulan lebih awal daripada tempoh yang digariskan dalam Belanjawan 2021.

Apa bantahan yang timbul?

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berpandangan dana Kwan tidak patut disentuh kerana pada masa ini "kadar pinjaman kerajaan dalam beberapa bulan terakhir adalah yang paling murah dalam sejarah".

Katanya lagi, tambahan pinjaman RM3 bilion hanya akan memberikan impak minimum kepada paras siling hutang kerajaan.

Seorang lagi bekas menteri kewangan, Najib Razak pula mempersoalkan kenapa kerajaan memerlukan RM2 bilion lagi - tambahan kepada RM3 bilion yang disebut dalam Belanjawan 2021 - hanya untuk mencapai matlamat program vaksin dua bulan lebih awal.


Panduankini ini disediakan oleh Andrew Ong.