Skip to main
Logo Malaysiakini

17 warga emas, 3 pekerja di rumah orang tua di Klang dijangkiti Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejumlah 20 individu termasuk 17 warga emas dan tiga kakitangan di sebuah pusat jagaan orang tua di Kampung Baru Pandamaran di Klang, Selangor, disahkan positif Covid-19, kata Adun Pandamaran Tony Leong Tuck Chee.

Leong ketika dihubungi semalam berkata, di dimaklumkan tentang penularan yang berlaku oleh penyelia Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Grace di situ.

"Ujian polymerase chain reaction (PCR) telah dibuat terhadap 35 orang, termasuk 27 warga ema dan tujuh kakitangan. Seramai 20 daripada mereka disahkan positif semalam.

"Saya sudah hubungi pegawai di Pejabat Kesihatan Daerah Klang, dia kata mereka yang dijangkiti akan dihantar ke hospital. Tetapi tiada ambulans yang datang ambil mereka.

"Saya akan hubungi pejabat kesihatan untuk aturkan perkara ini agar warga emas dengan komorbiditi dapat diberi penjagaan kesihatan yang sebetulnya. Warga emas berisiko lebih tinggi untuk tenat akibat Covid-19," katanya.

Menurut Leong, penduduk paling tua di pusat jagaan itu berusia 90 tahun dan kebanyakannya mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan ada juga yang mengalami masalah penglihatan.

Dipercayai penduduk dan kakitangan pusat jagaan itu dijangkiti oleh pekerja di sebuah gereja yang mengendalikan pusat itu.

Difahamkan gereja itu, yang juga terletak di Pandamaran, telah ditutup selama dua minggu selepas lima pastor dan dua kakitangan didapati positif Covid-19.