Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Tenaga Kerja siasat dakwaan pekerja asing bunuh diri tak dibayar gaji

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedang menyiasat dakwaan yang sebuah syarikat, Landseal Sdn Bhd tidak membayar gaji selama lima bulan terhadap seorang pekerja warga Pakistan yang ditemui mati di tapak pembinaan pada 17 April lalu.

Ketika dihubungi semalam, seorang pegawai JTK memberitahu Malaysiakini yang pihaknya telah bertindak susulan laporan yang Shahzad Ahmed didakwa membunuh diri serta video yang dibuatnya sebelum berbuat demikian.

"Kes masih dalam siasatan. Kita siasat mengikut Akta Kerja 1955. Siasatan akan meliputi semua aspek berkaitan di bawah akta itu, misalnya Seksyen 19, 22, 24, 25 dan 60K.

"Kami juga menjadikan laporan berita sebagai asas siasatan," katanya, sambil menambah siasatan kes seumpama ini biasanya diselesaikan dalam masa seminggu.

Katanya lagi, jika dakwaan Shahzad bahawa dia tidak dibayar gaji adalah benar, Landseal boleh dikenakan kompaun atau berdepan pendakwaan.

Pada 26 April lalu, Malaysiakini melaporkan Shahzad ditemui mati di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang pada 17 April, dipercayai akibat bunuh diri.

Sebelum itu, mangsa menyiarkan video di platform media sosial Tik Tok, dengan mendakwa dia "tidak boleh tahan" selepas majikannya tidak membayar gaji selama lima bulan.

Menurut laporan itu, dia dalam tekanan untuk menghantar wang kepada keluarganya, dan Landseal pada masa sama berdepan masalah kewangan akibat perintah kawalan pergerakan.

Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah mengatakan bahawa berdasarkan siasatan, syarikat itu tidak membayar gaji kepada mangsa dari Disember 2020 hingga April 2021.

Dia juga mengesahkan Shahzad memiliki dokumen imigresen yang sah.

CEO Landseal Radha Krishnan memberitahu Malaysiakini bahawa syarikatnya akan menanggung kos untuk menghantar jenazah ke Pakistan dan memberikan pembayaran muhibah kepada keluarganya.

Kedutaan Pakistan di Kuala Lumpur pula memaklumkan penghantaran pulang jenazah akan dibuat 30 April ini dan mengesahkan perbelanjaan akan ditanggung syarikat itu.

Malaysiakini juga telah menghubungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan komen.

'Hentikan amalan tak bayar gaji'

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat PSM Mohanarani Rasiah mengkritik kelemahan penguatkuasaan terhadap undang-undang buruh, terutama melibatkan pekerja asing.

Menurutnya, amalan tidak membayar gaji sering berlaku dan majikan biasanya hanya dikenakan hukuman yang ringan dan akan mengulanginya.

"Reaksi untuk insiden ini ialah, mengapa pekerja itu akhirnya bertindak sebegitu dan bukannya membuat laporan di pejabat buruh. Adakah pekerja ada hak untuk membuat aduan di pejabat buruh?

"Malangnya, hak itu cuma di atas kertas. Realitinya, mereka yang membuat aduan menjadi mangsa dan mungkin dibuang kerja. Pekerja muda dari Pakistan ini adalah mangsa keadaan ini.

"Kerajaan, dalam usaha mengekalkan pendirian properniagaannya, tidak boleh biarkan pekerja terhimpit dalam situasi di mana penguatkuasaan tidak tegas dan pekerja tidak boleh menyuarakan kekecewaan mereka," katanya dalam kenyataan.

Katanya, pekerja asing biasanya menanggung hutang untuk bekerja di luar negara dan gaji mereka digunakan untuk menyara keluarga dan pada masa sama membayar hutang tersebut.

"Bagaimana majikan yang bukannya 'pemilik hamba' boleh tidak membayar gaji pekerja dengan begitu lama begitu saja?

"Kini selepas ada yang terkorban akibat penguatkuasaan yang lemah, adakah Kementerian Sumber Manusia akan memandang hal ini secara lebih serius?" soalnya.

Katanya, PSM menggesa kertas siasatan dibuka terhadap syarikat tersebut kerana menurutnya telah membawa kepada tindakan bunuh diri pekerja itu.

Sekiranya anda merasa tertekan atau bunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan itu, hubungi talian hotline berikut:

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders

Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-42657995

Talian sokongan psikososial Kementeran Kesihatan/Mercy Malaysia

Hotline: 03-2935 9935, 014-322 3392, 011-6399 6482 or 011-6399 4236