Skip to main
Logo Malaysiakini

Che' Puan Besar Khaleeda gesa tindakan tegas guru buat jenaka rogol

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam hari ini tampil meminta tindakan tegas dikenakan ke atas guru yang didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas.

Isteri kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu berkata isu rogol tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka dan gurauan walau dalam apa keadaan sekalipun.

Lebih-lebih lagi, katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Johor, guru sepatutnya menjadi agen sosialisasi kedua terpenting selepas ibu bapa, selain berperanan bukan sahaja untuk mendidik, malah membentuk akhlak pelajarnya.

“Video baru-baru ini tentang seorang pelajar yang mengadu tentang guru pendidikan jasmaninya bergurau secara keterlaluan dan mengatakan ia tidak salah untuk merogol telah menjadi viral di media sosial.

“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai perkara ini segera dan tindakan tegas terhadap guru tersebut perlu diambil segera.

“Isu rogol adalah perkara serius dan merupakan perbuatan jenayah berat. Oleh yang demikian, dalam situasi apa sekalipun perkara ini tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka dan juga gurauan.

“Saya puji pelajar perempuan tersebut kerana berani menyuarakan perkara serius ini di ruang media sosialnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ain Husniza Saiful Nizam, 17, mendedahkan seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas, ketika membicarakan soal penderaan dan gangguan seksual.

Ia mencetuskan kemarahan warganet selepas rakaman video Ain itu tular di Tiktok, sebelum kemudiannya tersebar ke platform lain seperti Twitter dan Facebook.

Ekoran kejadian itu, dia turut menerima ugutan rogol oleh rakan sekelas lelakinya, namun dilaporkan, pelajar itu telah meminta maaf kemudian.

Polis telah membuka kertas siasatan dan sedang mengambil keterangan pihak terlibat, selepas Ain membuat dua laporan polis, satu terhadap guru tersebut dan satu lagi terhadap rakan sekelasnya itu.