Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarikh akhir untuk Lynas bina kemudahan pelupusan dilanjut ke 2 Sept

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir untuk Lynas mula membina kemudahan pelupusan kekal (PDF).

Ini berlaku setelah Ahli Parlimen Bentong Wong Tack mendesak kerajaan menarik semula lesen Lynas kerana gagal mematuhi salah satu syarat pembaharuan lesen.

Ketika dihubungi, AELB mengesahkan bahawa pihak mereka telah menyetujui permohonan Lynas untuk melanjutkan tarikh akhir dari 31 Mac kepada 2 September 2021.

"Lynas telah mengajukan rayuan untuk melanjutkan tempoh. Lembaga telah bersetuju untuk melanjutkannya selama 6 bulan hingga 2 September 2021,” kata kenyataan bertulis kepada Malaysiakini.

Lynas diberikan pembaharuan lesen tiga tahun dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom pada Februari tahun lalu.

Pembaharuan lesen itu diberikan dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Lynas, termasuk membina fasiliti operasi pemecahan dan larut lesap (WLP) di luar Malaysia sebelum Julai 2023, yang mana selepas itu Lynas tidak akan dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi.

Syarikat itu juga harus mula membangunkan kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa radioaktif tahap rendah dari pemprosesan nadir bumi dalam tahun pertama dari tarikh kelulusan lesen.

Walaupun kerajaan telah meluluskan sebuah kawasan di Pahang untuk kemudahan tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menandakan di laman webnya bahawa permohonan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Lynas telah ditolak pada 26 Jan.

Walaupun ditolak, syarikat Australia itu mendakwa bahawa pihaknya sedang menyiapkan maklumat lebih lanjut untuk diserahkan dan menyambung semula penilaian EIA.

Oleh kerana pengeluaran nadir bumi melibatkan bahan radioaktif, lesen dari AELB diperlukan untuk operasi Lynas di Malaysia. AELB diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

EIA untuk kemudahan pelupusan kekal memerlukan kelulusan dari JAS, yang kini diletakkan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Malaysiakini telah menghubungi MOSTI dan JAS untuk mendapatkan respons.