Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS: Pengecualian kompaun bukti kerajaan PN pentingkan rakyat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS menyifatkan tindakan kerajaan yang menggunakan budi bicara dalam isu kompaun terhadap pelanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam kalangan pelajar, menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mementingkan rakyat.

"Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan PN terhadap suara dan keluhan rakyat didengari dan diambil tindakan yang sebaiknya," kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad hari ini.

Namun, menurut Idris, pada masa sama, pihak kerajaan juga perlu meneruskan pendirian untuk tidak berkrompomi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

“Dalam masa sama, menerapkan elemen budi bicara di dalam setiap tindakan.

“Semoga rakyat dan negara ini akan sentiasa berganding bahu bersama-sama mengharungi fasa pemulihan dari pandemik Covid-19,” katanya.

Dia berkata demikian mengulas kes enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang tular kerana dikenakan kompaun akibat tidak memakai pelitup muka dikecualikan daripada bayaran.

Pada 19 April lepas, tular di media sosial berhubung enam pelajar berkenaan dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka.

Tindakan mengenakan kompaun itu menerima pelbagai kritikan daripada netizen yang mempertikai tindakan KKM itu kerana pelajar terbabit dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan dan tidak dibenarkan keluar.

Susulan itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin hari ini dilaporkan berkata, kesemua mereka dikecualikan kompaun berkenaan selepas mengemukakan rayuan pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM sebelum ini dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Selain daripada laporan itu, polis Kelantan juga dilaporkan sedang meneliti semula kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger sebelum ini.